PETALING JAYA: Gaji yang diterima rakyat Malaysia dijangka meningkat mulai tahun depan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, perkara itu akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Bajet 2024 yang dijadualkan pada Oktober ini.
“Penyelesaian kepada ekonomi negara sedang berjalan, usaha-usaha kerajaan telah menunjukkan hasil awal. Kita sudah mengatasi masalah kenaikan harga berterusan yang ditinggalkan Kabinet lepas.
“Inflasi turun dari bulan pertama dalam paras paling rendah dalam tempoh 12 bulan, hala tuju penggajian rakyat sudah ada, rakyat akan mula merasai gaji lebih tinggi tahun depan, pabila saudara Anwar mengumumkan peruntukan kerajaan menaikkan gaji rakyat dalam belanjawan yang akan diumumkan dan dibentangkan Oktober ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Debat Model Baharu Ekonomi Malaysia.
Katanya, minat pelabur secara jangka panjang semakin pulih, malah pelabur jangka pendek kembali ke Bursa Malaysia pada kadar lebih tinggi berbanding serantau ASEAN dalam tempoh dua bulan.
“Adakah ekonomi sudah pulih? Sudah tentu tidak tapi kita berada di landasan baik dan jika kita kekal pada landasan ini, insya-Allah Malaysia dijangka menyertai kelab pendapatan tinggi atau seiring dengan negara maju antara 2026 dan 2028,” katanya.
Pada masa sama, beliau memesan pihak lawannya Ahli Parlimen Bachok, Mohd. Syahir Sulaiman serta pihak pembangkang supaya bersikap lebih matang dan adil ketika membicarakan soal ekonomi negara.
“Saya berharap mereka tidak mempolitikkan amanah nasional dengan cuba memperbaiki ekonomi negara demi hanya beberapa tontonan di TikTok sahaja.
“Saya berharap mereka bersikap jujur dengan rakyat dan amanah kerana menyelesaikan masalah ekonomi memerlukan ilmu ekonomi sepadan dengan cabaran ekonomi dan ia memerlukan pengalaman mengendalikan ekonomi dan membawa tawaduk kepada amanah dipikul, supaya orang seperti Syahir takut kepada kesan sibuk berTikTok dan tidak kompeten menjalankan tugas. sebab itu mengemudi ekonomi memerlukan ahli yang betul-betul faham bukannya membaca sekerat apatah lagi baca copy paste, hanya buat kandungan TikTok mengenai ekonomi.
“Syahir merupakan generasi baharu pimpinan Pas dan dia ada potensi untuk jadi ahli politik yang boleh menengahkan isu ekonomi secara lebih matang dan adil. Saya berharap lepas debat ini, mereka bersikap lebih adil pada masa akan datang mengenai cabaran ekonomi negara, jika sikap tawaduk ada, insya-Allah, jika Pas diberi amanah menjaga ekonomi negara, saya berharap prestasi Malaysia di bawah Pas lebih baik dari apa kita lihat di Kelantan,” katanya. – UTUSAN