SUNGAI SIPUT: Seekor gajah liar yang menimbulkan kebimbangan penduduk Orang Asli di Pos Poi di sini, akhirnya berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, gajah jantan seberat 2.5 tan itu ditangkap dalam operasi oleh Unit Tangkapan Gajah (UTG), Sabtu lalu.
Katanya, mamalia yang dinamakan Yob Poi itu dipercayai tersesat dari Hutan Simpan Piah dan merosakkan tanaman penduduk.
“Gajah dianggarkan berusia 24 hingga 25 tahun itu juga dikesan menghampiri Sekolah Kebangsaan Pos Poi, minggu lalu.
“Dua gajah denak Abot dan Rambai dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang, Pahang digunakan untuk memujuk dan menarik gajah liar berkenaan sejauh kira-kira 100 meter ke atas lori,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi memindahkan gajah jantan berkenaan mengambil masa kira-kira lima jam dibantu 20 kakitangan PKGK dan Perhilitan Perak.
“Yob Poi akan dilepaskan ke habitat asal di hutan Taman Negeri Terengganu,” katanya. – UTUSAN