GEORGE TOWN: Seorang gadis yang terselamat selepas terjatuh dari Kilometer 7.4 Jambatan Pulau Pinang, menghala ke Perai di sini, pagi tadi mendakwa berhenti di tepi tembok jambatan itu kerana mahu muntah.
Mangsa berbangsa India berusia 23 tahun itu ditemui dalam keadaan bergantung pada tapak tiang jambatan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Sha’ari Mansor berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 4.28 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, mangsa berjaya diselamatkan anggota bomba bersama seorang nelayan yang kebetulan berada berhampiran dengan tempat kejadian.
“Mangsa ditemui selamat dan berada dalam keadaan tenang serta tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Semasa mendapatkan keterangan daripada mangsa, dia menyatakan telah berhenti di tepi jambatan kerana ingin muntah lalu terjatuh ke bawah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam kejadian tersebut, anggota bomba turut menjumpai sebuah kereta jenis Honda City beserta dokumen peribadi milik mangsa yang berada di atas jambatan.
Jelas Sha’ari, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tersebut tamat sepenuhnya pukul 5.49 pagi.
Mana-mana individu yang mempunyai masalah kemurungan atau menghadapi tekanan boleh menghubungi Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) di 03-29359935 atau 014-3223392 atau Talian Kasih 15999/WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999. – UTUSAN