KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya mendapatkan perintah injunksi sementara (interim) terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bagi menghalangnya daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung Perdana Menteri itu.
Perintah ex parte (sebelah pihak) tersebut diberikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar, Mahazan Mat Taib pada prosiding yang dijalankan secara online, semalam.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Datuk Sankara Nair ketika dihubungi media semalam.
Perintah itu antara lain menghalang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu atau kakitangannya atau ejennya untuk mengeluarkan, menerbitkan dan mengulangi sebarang kenyataan berbaur fitnah dalam apa jua bentuk medium sebagaimana yang dinyatakan dalam saman Anwar terhadap Muhammad Sanusi.
Menurut peguam terbabit, permohonan injunksi tersebut dipohon ekoran tindakan Muhammad Sanusi yang masih mengulangi kenyataan-kenyataan berbaur fitnah walaupun telah disaman.
Muhammad Sanusi didakwa mengulangi kata-kata fitnah itu pada “Jelajah PN Best Negeri Sembilan” yang diadakan pada 18 Mac lalu di Nilai, Negeri Sembilan dan pada “Jelajah Selangor Baharu – Selayang” pada 11 Julai lalu di Selayang, Selangor.
Pada 13 Disember 2022, Anwar menyaman Muhammad Sanusi berhubung ucapan berbaur fitnah yang mengaitkan Perdana Menteri dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’.
“Tarikh perbicaraan saman fitnah itu masih belum ditetapkan namun walaupun mengetahui bahawa kes saman itu masih belum selesai, Muhammad Sanusi dengan tegar dan tekad untuk mengulangi kenyataan fitnah yang menyentuh mengenai perbicaraan kes jenayah Anwar yang lalu.
“Muhammad Sanusi boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah sekiranya melanggar perintah injunksi tersebut,” kata peguam itu.
Tambahnya, salinan perintah injunksi termeterai telah diserahkan kepada peguam mewakili menteri besar itu kira-kira pukul 12:30 tengah hari, semalam.
Menurut penyataan tuntutan Anwar, Ahli Parlimen Tambun itu mendakwa kenyataan yang dibuat oleh Muhammad Sanusi pada November 2022 antaranya membawa maksud plaintif (Anwar) mendapat pengampunan Diraja melalui penipuan dan kekal tidak diampunkan serta telah memperdaya Yang di-Pertuan Agong, seorang pembohong, tidak boleh dipercayai, tidak beretika dan mengkhianati mandat rakyat.
Plaintif mendakwa kenyataan-kenyataan itu adalah tidak benar, keji serta berniat jahat dengan tujuan menghasut orang ramai dan menimbulkan kebencian peribadi terhadapnya dan PH semasa tempoh berkempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022.
Dakwanya, akibat daripada kenyataan fitnah itu menyebabkannya dihina, mendapat cemuhan daripada masyarakat selain memudaratkan imej dan reputasi baiknya sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pengerusi PH, Ahli Parlimen Tambun, Perdana Menteri ke-10 dan Menteri Kewangan Malaysia. – UTUSAN