Fitnah 200 sekolah tahfiz diarah tutup tak bertanggungjawab - Sultan Selangor - Utusan Malaysia

Fitnah 200 sekolah tahfiz diarah tutup tak bertanggungjawab – Sultan Selangor

SULTAN Sharafuddin Idris Shah ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agam Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-70 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, fitnah mengatakan lebih 200 buah sekolah tahfiz di Selangor telah diarahkan tutup amat tidak bertanggungjawab dan amat dikesali.

Titah baginda, fitnah sebegini secara tidak langsung merisaukan ibu bapa dan boleh menghakis kepercayaan orang ramai terhadap institusi agama dan pihak berkuasa agama khususnya di negeri ini.

“Baru-baru ini telah berlaku kekecohan tentang fitnah yang telah dilemparkan terhadap Pihak Berkuasa Agama Negeri Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor kononnya lebih daripada 200 buah sekolah tahfiz di Selangor telah diarahkan tutup yang mengakibatkan beribu pelajar tahfiz telah hilang tempat untuk belajar. 

“Beta mahu mereka yang sering melemparkan fitnah dan tohmahan agar mendapatkan fakta yang tepat sebelum melontarkan sebarang tohmahan yang tidak berasas,” titah baginda selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agam Islam Malaysia (MKI) sempena Mesyuarat MKI Kali Ke-70 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam semalam.

Turut hadir dalam mesyuarat itu adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menyentuh berkenaan komitmen MKI dalam memperkasa Pendidikan Islam, baginda bertitah, adalah merupakan manifestasi kepercayaan Majlis Raja-Raja untuk melihat tadbir urus Institusi Pendidikan Islam di Malaysia dapat diselaraskan dengan lebih baik dan teratur.

Dalam hubungan ini titah baginda, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan institusi pendidikan itu berkualiti serta memenuhi aspirasi ibu bapa, masyarakat dan Negara untuk melahirkan pelajar cemerlang di dunia dan di akhirat.

“Golongan ini perlu segera memberhentikan perbuatan khianat dan tidak bertanggungjawab ini dan andai kata mereka meneruskan perbuatan fitnah dan khianat ini, beta mohon pihak polis segera mengesan kumpulan pemfitnah ini dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

“Pada hakikatnya beta telah menitahkan agar langkah pemutihan diambil terhadap sekolah-sekolah agama dan tahfiz swasta dan persendirian yang tidak berdaftar dengan mengarahkan pendaftaran dibuat bagi memastikan sekolah-sekolah ini adalah selamat dari segi ciri-ciri keselamatannya dan mempunyai suasana pembelajaran yang selesa untuk para pelajar menimba ilmu,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda menyeru kepada mana-mana Institusi tahfiz swasta dan persendiran yang belum berdaftar dengan Pihak Berkuasa Agama Islam negeri agar segera melaksanakannya supaya bantuan dan peruntukan dapat disalurkan seperti mana yang diterima oleh Institusi pendidikan Islam yang berdaftar.

“Beta juga mencadangkan agar pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyediakan kertas kerja bagi membuat dasar dan prosedur yang komprehensif bagi pendaftaran institusi-institusi tahfiz swasta dan persendirian untuk diguna pakai di setiap negeri,” titah Sultan Selangor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya