Finas digesa umum penerima dana DKD - Utusan Malaysia

Finas digesa umum penerima dana DKD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERBANANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) digesa mengumumkan senarai penerima Dana Kandungan Digital (DKD) supaya badan itu dilihat lebih telus dalam menyalurkan geran kepada pembikin filem. 

Gesaan itu disuarakan oleh Setiausaha Kehormat merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Zahrin Aris kerana perkara tersebut sebenarnya sudah menjadi amalan sejak zaman Datuk Kamil Othman menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). 

Namun, katanya, dia hairan sejak Kamil dilantik semula menjadi Pengerusi Finas (Februari lalu), amalan memaparkan senarai penerima dana di laman web rasmi Finas sudah tidak dilakukan lagi. 

“Bertukar pucuk pimpinan di Finas, ia sudah tidak dibuat lagi. Saya sudah suarakan perkara ini beberapa kali supaya semua orang tahu senarai penerima dana sebab itu adalah duit rakyat. 

“Kalau ada projek yang gagal disiapkan, Finas wajar mengambil tindakan sebab penerima perlu memenuhi kontrak yang dibuat supaya tidak timbul isu penyelewengan. Peraturan itu sudah termaktub, tinggal hanya perlu diikuti sahaja,” katanya. 

Jika berlaku situasi projek terbengkalai, Zahrin berkata, itu adalah situasi normal melibatkan mana-mana penerima dana dan geran kerajaan. 

Jelasnya, pelaksanaan sesuatu projek adalah bergantung kapasiti syarikat kerana ada pihak yang lemah daripada aspek produksi dan kewangan. 

“Setiap tahun ada audit, jadi tiada apa-apa yang perlu diselindungkan. Pihak Finas perlu lebih telus dalam hal ini. 

“Yang kita hairan kenapa tak nak keluarkan (senarai penerima)? Apa yang menjadi terlalu rahsia?” soalnya. 

April lalu, Utusan Malaysia menerusi laporan muka depan melaporkan kenyataan bekas CEO Finas, Prof. Dr. Md. Nasir Ibrahim terdapat 44 syarikat produksi gagal menyiapkan projek dengan sembilan daripadanya menerima writ saman serta tiga penghakiman ingkar. 

Bagaimanapun, sehingga sekarang, hanya tiga syarikat sahaja berjaya menyelesaikan projek melalui pemberian dana DKD sejak 2015, selepas pihak Finas mengeluarkan Letter of Demand (Surat Tuntutan).  

Terdapat segelintir penerima DKD yang diterima sejak 2015 didakwa kononnya tidak menyiapkan projek dan menyeleweng dana tersebut bagi tujuan pembaikan rumah dan melancong.  

BUAT FILEM SATU RISIKO 

Dalam perkembangan lain, Zahrin berkata, sesebuah filem yang gagal mendapat kutipan tinggi di pawagam bukan bermaksud mereka gagal di platform lain. 

Jelasnya, ia bergantung kepada strategi pemasaran dan kaedah yang digunakan bagi menjana keuntungan serta cabaran persaingan dengan filem luar.  

“Setiap tahun ada 60 hingga 65 filem tempatan dikeluarkan. Senarai yang berjaya mungkin dalam 10 ke 15 filem sahaja, yang mendapat kutipan box office melebihi RM1 juta. 

“Tak semua filem yang keluar akan berjaya. Itu lumrah. Kita perlu faham filem ini adalah perniagaan yang berisiko tinggi atau mampu menjana pulangan besar (high risk, high return). 

“Contohnya seperti filem seram, Sumpahan Jerunei. Mereka sudah menjana keuntungan sebelum ditayangkan di pawagam lagi. Strategi mereka siarkan di platform OTT atau penstriman lain dahulu sebelum tayang di pawagam. Kalau dapat tayang di pawagam itu bonus,” katanya. 

Disoal naskhah atau genre filem sama ditayangkan serentak, Zahrin berkata, situasi tersebut adalah amalan sihat melibatkan pembikin filem tempatan. 

“Itu adalah persaingan sihat, tetapi kita cuba elak genre sama ditayangkan serentak,” ulasnya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya