Filem tempatan dijulang di luar, sendu di negara sendiri

Filem tempatan dijulang di luar, sendu di negara sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPERTI dua kutub yang saling berlawanan, naskhah pengkarya tanah air yang diterima di luar negara jarang mendapat sambutan hangat di negara sendiri.

Tidak sedikit naskhah tanah air yang mendapat jemputan tayangan atau dipertandingkan di festival besar seperti Festival Filem Antarabangsa Toronto, Festival Filem Udine Far East, Festival Filem Asia New York, dan Semaine de la Critique Festival Filem Cannes.

Namun, karya-karya tersebut seperti filem Abang Adik, Coast Guard Malaysia: Ops Helang, Geran, Tiger Stripes, dan Interchange (sekadar menyebut beberapa) yang menembusi festival luar negara kurang dibincang dan menjadi subjek perhatian di Malaysia.

Pelakon dan pengarah, Nam Ron menghuraikan keadaan yang sangat ironi ini dengan mengetengahkan dua elemen penting yang saling berkait iaitu identiti karya dan selera penonton.

“Jika kita hendak bawa filem kita keluar, kita tawarkan sesuatu yang orang luar tidak pernah tahu seperti silat, seni budaya serta lokasi seperti hutan dan laut yang kita ada.

“Ini kerana, orang luar mungkin tidak pernah nampak keindahan itu dan mereka rasakan perkara itu menarik. Begitu juga dengan isu yang kita ketengahkan, contohnya korupsi.

“Mereka tahu isu itu melalui media sosial, jadi bila ada filem kita yang bawa isu yang disifatkan taboo seperti itu, mereka hargai,” katanya ketika sesi fotografi bersama Hits, baru-baru ini.

Pemilik nama sebenar Shahili Abdan, 54, turut berpandangan, sesuatu yang dianggap menarik bagi tontonan luar negara malangnya tidak seiringan dengan selera penonton tempatan.

“Penonton kita berbeza, kerana apa yang dihargai di luar negara sukar dijual di Malaysia.

“Jika dahulu cerita cinta memang boleh jual, namun kini orang kita lebih cenderung kepada hiburan dalam genre aksi dan filem cerita hantu. Filem seram menarik, sebab hantu di setiap tempat berbeza dan senang untuk peroleh dana.

“Namun tidaklah bermaksud genre filem lain tidak bagus. Kehebatan atau bagusnya sesuatu filem masih ditentukan oleh bagaimana lancarnya sesuatu filem mengangkat subjek yang dibincangkan,” tambahnya.

DI MANA JALAN TENGAH?

Walaupun mengakui adanya perbezaan daripada aspek permintaan naskhah dari dalam dan luar negara, Pengarah Terbaik, Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2019 ini bagaimanapun tidak menafikan jurang perbezaan ini boleh dikecilkan dengan bantuan promosi.

“Jadi, tidak adakah filem tempatan yang diterima dengan baik oleh penonton dalam dan luar negara? Jawapan saya, ada, cuma formulanya kita belum jumpa.

“Bagi saya semuanya bergantung kepada kekuatan promosi. Kita perlukan sokongan kewangan jika mahu jual filem di Malaysia. Sebab itu orang kata, bajet promosi filem boleh jadi sama banyak dengan kos penerbitan filem.

“Orang kita sukakan sesuatu yang ‘gah’ untuk mereka yakin dan percaya. Bayangkan jika mampu promosikan filem semasa siaran berita, itu akan memberi kesan yang sangat hebat kepada penonton,” tambahnya.

Terkini, Nam Ron tampil dalam sebuah filem arahan Areel Abu Bakar bertajuk Walid. Menerusi filem berkenaan, Nam Ron kembali membawakan watak antagonis bernama Pak Ku.

Sebelum ini, filem yang mengangkat seni persilatan itu telah ditayangkan di Cine Village, New York, AS pada 28 Julai hingga 3 Ogos lalu.

Kemudian, naskhah itu turut ditayangkan di Leammle Glendale, LA bermula 11 hingga 17 Ogos lalu. Walid bakal ditayangkan di Malaysia pada 14 September ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN