SELEPAS hampir tiga bulan mengunci mulut, FIFTY FIFTY tampil memberikan penjelasan berhubung spekulasi perbalahan membabitkan kumpulan berkenaan dengan agensi pengurusan mereka, ATTRAKT.
Penjelasan tersebut dibuat menerusi kenyataan yang ditujukan kepada peminat mereka yang selama ini keliru dan berteka teki berkenaan isu terbabit.
“Kami ingin memohon maaf kerana mengakibatkan kekhuatiran dalam kalangan peminat yang sehingga hari ini, masih kurang jelas berhubung isu ini.
“Ramai antara anda yang dikelirukan dengan laporan media cetak dan elektronik tentang isu ini. Buat pengetahuan anda, kami sedang berdepan fasa sukar dan sedang mengambil tindakan undang-undang untuk menyelesaikan hal berbangkit.
“Kami ingin mengambil peluang ini untuk memperbetulkan keadaan. Kami tidak mempunyai sebarang pilihan dan berharap penjelasan ini dapat melindungi kerjaya kami,” jelas Keena, Saena, Sio dan Aran dalam kenyataan bersama.
FIFTY FIFTY pada Jun tahun ini telah memfailkan permohonan untuk menggugurkan kontrak yang dipersetujui bersama dengan syarikat pengurusan tersebut. Permohonan itu dibuat susulan dakwaan salah laku membabitkan Ketua Pegawai Eksekutif ATTRAKT.
Mahkamah dalam pada itu mengarahkan agar kedua-dua pihak menyelesaikan perbalahan berkenaan menerusi proses timbang tara.
Bagaimanapun, FIFTY FIFTY menolak untuk meneruskan proses berkenaan dan kes tersebut dibicarakan sebelum memfailkan dakwaan terhadap ATTRAKT.
Dalam perkembangan berkaitan, ATTRAKT tampil dengan kenyataan balas, mendakwa kumpulan FIFTY FIFTY telah ‘diracun’ Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pengurusan The Givers, Ahn Sung II sehingga mengakibatkan kumpulan itu memutuskan untuk menggugurkan kontrak yang dipersetujui dengan ATTRAKT.
ATTRAKT juga telah memfailkan dakwaan, mengaitkan Ahn Sung dan beberapa kakitangan The Givers dengan jenayah penipuan dan salah laku.
Pada masa sama, pihak ATTRAKT juga mendakwa masalah tersebut turut berpunca dengan tindakan Warner Music Korea, yang dikatakan bersekongkol dengan The Givers dalam mempengaruhi FIFTY FIFTY untuk menggugurkan kontrak mereka.
Warner Music Korea menafikan penglibatan mereka dalam kes tersebut. Sementara itu, kumpulan tersebut memaklumkan sedang bergerak ke depan dan berhatihati dalam meleraikan kesukaran dan salah faham yang berlaku.
“Kami terkilan dengan laporan tidak benar dimainkan media berkenaan kes ini. Kami berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan penamatan kontrak yang dimeterai dengan agensi kami.
“Tetapi ini tidak bermaksud kami mengaku atau menerima apa yang dilaporkan media hari ini.
“Kami percaya lunas undangundang adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah ini. Kami berharap kebenaran akan ditegakkan dan keadilan berpihak kepada kami,” jelas FIFTY FIFTY.