PETALING JAYA: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) perlu dilihat dalam ruang lingkup lebih luas dan tidak hanya tertumpu kepada hasil perladangan semata-mata.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, Felda dalam masa sama masih memainkan peranan sebagai pusat pembentukan komuniti untuk jangka panjang dan kekal relevan pada masa akan datang.
Menurut beliau, Felda harus terus kekal dan tidak boleh ditutup hanya disebabkan kerugian yang pernah dicatatkan.
“Kalau kita pergi ke kafe, ada banyak cerita bagaimana ia datang dan diproses. Ia membawa naratif kopi dan dikaitkan dengan rakyatnya pula.
“Saya bagi contoh mudah. Jadi lihat Felda pun pasti berbeza dengan beberapa negara lain seperti Indonesia, Mexico atau Columbia.
“Di negara berkenaan ia dijana syarikat besar, tetapi kita dijana rakyat sendiri dan dapat mengubah nasib mereka sejak mula-mula dibuka sehinggalah sekarang. Inilah naratif Felda. Jadi, adakah itu tanda kegagalan?” Soalnya ketika ditemui Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan meneruskan dana pembiayaan sukuk Felda yang tertangguh sebelum ini dengan menyalurkan peruntukan sehingga RM1 bilion setahun untuk 10 tahun akan datang kepada Felda.
Menurut beliau, tindakan itu sebagai memastikan kelangsungan dan usaha penstrukturan semula hutang agensi tersebut.
Dalam pada itu Ahmad Shabery berkata, Pasukan Khas Menangani Isu Felda yang diketuai Tan Sri Abdul Wahid Omar akan diteruskan.
“Ia belum ditutup dan ia membantu untuk memantau cadangan dan beberapa perkara lain seperti soal sukuk dan isu untuk melestarikan Felda bagi jangka panjang.
“Ia juga masih boleh diteruskan untuk membantu kami memandu arah Felda dan memenuhi perancangan akan datang. Saya tiada apa-apa keputusan dan akan terus berbincang dengan Tan Sri (Abdul Wahid) untuk terus bergerak ke depan,” jelasnya. – UTUSAN