Fasiliti pelancongan di Padang Besar ditingkatkan - Utusan Malaysia

Fasiliti pelancongan di Padang Besar ditingkatkan

LALUAN pejalan kaki yang menghubungkan pintu masuk ICQS Padang Besar ke Stesen KTMB Padang Besar dijangka dibuka pada September di Padang Besar, Perlis. - UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Fasiliti pelancongan di sekitar kawasan tumpuan pelancong khususnya di kawasan beli-belah di sini terus ditambah baik menjelang Tahun Melawat Perlis (TMP) 2024/2025.

Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Sempadan negeri, Izizam Ibrahim berkata, projek tambah baik fasiliti termasuk laluan pejalan kaki yang menghubungkan Stesen Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) Padang Besar dengan jalan raya utama ke kompleks beli-belah itu kini hampir siap.

Katanya, laluan berpagar yang menghubungkan stesen kereta api itu kini siap 90 peratus dan hanya tinggal kerja-kerja kemasan peringkat akhir sebelum ianya dibuka menjelang bulan hadapan.

“Projek yang dijalankan oleh Perbadanan Aset Keretapi (RAC) itu akan dibuka bagi meningkatkan keselesaan pelancong, memendekkan tempoh perjalanan dan memberi pilihan kepada penumpang untuk berjalan kaki atau menaiki kenderaan dari stesen kereta api Padang Besar ke kawasan komersial,” katanya ketika ditemui di Plaza Niaga di sini semalam.

Sebagai rekod, laluan jejantas yang menghubungkan Stesen KTMB dengan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar itu ditutup pada 1 September 2020 lalu atas faktor keselamatan.

Ia sekali gus menyebabkan penumpang hanya mempunyai satu pilihan iaitu turun di pintu masuk stesen berkenaan.

Keadaan itu menimbulkan rungutan pengguna terutama mereka yang ingin pergi ke kompleks perniagaan yang terpaksa melalui perjalanan berkenderaan lebih lima kilometer berbanding tidak sampai satu kilometer jika berjalan kaki melintasi jejantas itu.

Tambah Izizam, laluan jalan kaki berpagar tersebut dilencongkan dari Padang Besar turut dilengkapi bumbung dan kamera litar tertutup (CCVT) bagi tujuan keselamatan serta pemantauan oleh pihak berkuasa.

Menurut Izizam, beliau berharap dengan pembukaan jejantas itu nanti, ia akan merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi di kawasan sempadan negeri Perlis.

Katanya, dengan adanya kemudahan itu nanti, ia pasti mampu menarik minat dan memberi keselesaan kepada pelancong domestik dan luar negara, khususnya dari Thailand.

“Laluan jalan raya berdekatan bulatan utama juga akan dinaik taraf bagi menyuraikan kesesakan trafik yang sering berlaku terutama ketika waktu kemuncak seperti musim perayaan dan cuti sekolah.

“Projek pelebaran jalan raya kepada tiga lorong di kawasan tersebut dijadualkan bermula pada September ini dan ia perlu dilakukan dengan pantas bagi meminimakan kesesakan trafik di laluan tersebut,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya