PETALING JAYA: Hampir dua minggu bercerai, pelakon dan pengarah, Farid Kamil memaklumkan dia reda menjalani kehidupan sebagai seorang ‘bujang’ selepas tiada lagi isteri di sisi.
Katanya, apa yang berlaku adalah suratan yang telah tertulis dan dirinya perlu cekal menempuhi kehidupan demi melihat anak-anaknya membesar dengan baik.
“Masa depan sebenarnya sudah tertulis. Apa yang ditakdirkan semua sudah tertulis. Sebagai hamba, saya perlu menjalani kehidupan seperti biasa dan mensyukuri segala nikmat.
“Ini juga adalah pengalaman baharu (hidup bujang) dan perlu ditempuhi dengan reda serta kerelaan hati. Apa yang pasti saya tahu diri ini tetap disayangi.
“Daripada hidup bersendirian kemudian bersama (isteri) dan akhirnya bersendirian semula adalah satu perjalanan hidup yang sudah tertulis. Saya perlu hadapinya sebagai seorang hamba Allah,” katanya selepas prosiding hadanah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di sini, semalam.
Disoal sepanjang tempoh iddah ini berkemungkinan untuk dia dan bekas isteri, Diana Danielle berbaik semula, Farid menjelaskan tiada lagi proses memujuk.
“Buat masa ini tiada (pujuk). Jodoh, ajal dan maut semuanya Allah SWT sudah tentukan.
“Saya tidak tahu apakah perancangan yang akan berlaku pada masa depan. Saya cuma ingin menjalani kehidupan dengan tenang dan berlapang dada dengan takdir,” jelasnya.
Dalam masa sama, pelakon utama filem Anwar: The Untold Story itu mendedahkan dia belum dapat berkomunikasi secara langsung dengan Diana, sebaliknya sebarang urusan hanya melalui perantaraan peguam.
“Saya berharap satu hari nanti hubungan kami akan menjadi normal serta boleh berkomunikasi demi kesejahteraan dan tumbesaran anak-anak.
“Selepas apa yang berlaku, saya bersyukur dikurniakan taufik dan hidayah. Alhamdulilah, baru selesai pergi bersuluk (mendekatkan diri pada Allah). Saya bersyukur kerana ini adalah jalan yang saya cari selama ini,” ujarnya.
Semalam, Hakim Syarie, Zulfikri Yasoa menetapkan hak penjagaan penuh dua anak kepada Diana selepas semua tuntutan diselesaikan secara global dan baik antara kedua-dua pihak.
Prosiding itu turut membenarkan Farid untuk melawat anak-anak mengikut terma dipersetujui kedua-dua belah pihak.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012.
Namun, pada 10 Ogos lalu, pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, dekat sini.
Farid melafazkan cerai talak satu di hadapan Hakim Syarie, Shukran Yusof menerusi aplikasi Google Meet memandangkan dia mengalami masalah kesihatan kesan akibat jangkitan Covid-19.
Pada 10 Mac lepas, Diana memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, di mahkamah sama.
Alasan diberikan oleh Diana ialah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan serta tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.