KUALA TERENGGANU: Nilai jualan produk Festival Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) atau FAMA Fest 2023 di empat buah negeri sebelum ini mencecah RM5 juta.
Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli berkata, penganjuran FAMA Fest 2023 sebelum ini telah diadakan di Sarawak, Johor, Perak dan Pulau Pinang sejak Februari lalu melibatkan lebih 300 usahawan.
Menurutnya, jumlah jualan tersebut disumbang hasil jualan produk berasaskan industri makanan asas tani, buah-buahan dan florikultur.
Katanya, seramai 200,000 pengunjung hadir memeriahkan FAMA Fest tersebut.
“Melalui program ini, usahawan bukan sahaja dapat menjana pendapatan melalui jualan produk, malah berpeluang menembusi pasaran eksport ke luar negara.
“Antaranya produk petai segar yang mula mendapat permintaan di Singapura selain pes makanan dan produk berasaskan minuman dijangka memasuki pasaran Hong Kong, Kemboja serta Vietnam,” katanya.
Aminuddin berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program FAMA Fest@Terengganu di sebuah pusat membeli-belah di sini, semalam.
Beliau memberitahu, pihaknya menyasarkan hasil jualan RM600,000 lagi pada penganjuran FAMA Fest 2023 di Terengganu yang merupakan destinasi terakhir bagi tahun ini.
FAMA Fest 2023 di Terengganu itu bermula pada 25 Ogos hingga 29 Ogos ini.
Menurut Aminuddin, wakil pengeksport luar negara akan menyertai program di Terengganu bagi membantu usahawan memasarkan produk mereka.
“Daripada program ini juga, sudah ada usahawan menandatangani perjanjian dengan ejen jualan antarabangsa bagi tujuan pemasaran dan penjualan produk mereka di luar negara.
“FAMA akan terus membantu usahawan termasuk menyediakan peruntukan menaik taraf kemudahan seperti pusat pengumpulan atau pusat jualan yang memerlukan,” tambahnya. – UTUSAN