Faiz Na’aman letak jawatan, keluar Bersatu

Faiz Na’aman letak jawatan, keluar Bersatu

DR. MUHAMMAD FAIZ NA'AMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dr. Muhammad Faiz Na’aman yang sebelum ini sering mengeluarkan kenyataan berlawanan dengan keputusan pimpinan tertinggi berhubung calon Pilihan Raya Negeri (PRN) mengumumkan meletak jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuat kuasa hari ini.

Menerusi surat perletakan jawatan yang dihantar kepada Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau berkata, keputusannya itu tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

Sebaliknya, kata beliau, ia berdasarkan prinsip yang dipegang yang mana beliau tidak boleh lagi mewakili kepemimpinan parti kerana mempunyai pertentangan pendapat, idea serta visi mengenai pengurusan dan hala tuju parti berkenaan.

“Saya Muhammad Faiz Bin Na’aman, nombor keahlian parti 00000061, mengisytihar bahawa bermula 7 Ogos 2023 (hari ini) saya tidak lagi menjawat jawatan selaku Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (dilantik) dan saya tidak lagi bergelar ahli Bersatu,” katanya dalam surat itu.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Muhammad Faiz tidak berpuas hati dengan cara pemilihan calon wakil rakyat parti itu yang bertanding dalam PRN yang disifatkan sebagai ‘lemah dan bermuslihat’.

Katanya, ini kerana Bersatu memilih beberapa calon yang telah tewas dalam PRU15 untuk bertanding sekali lagi, antaranya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (bertanding di DUN Hulu Kelang) dan Datuk Seri Rina Harun (DUN Batu Tiga).

Sementara itu, dalam kenyataan media berasingan, Muhammad Faiz berkata, Bersatu telah terpesong daripada objektif awal untuk menggantikan UMNO dengan memberi lebih banyak ruang kepada golongan muda dan muka baharu, terutama yang mempunyai latar belakang bersih serta setia dengan parti sejak awal.

Katanya, keputusan parti yang sering mengabaikan suara akar umbi, para pengasas awal dan teguran jentera bawahan menyebabkan Bersatu telah mengalami kekalahan dalam PRN di Melaka dan PRN Johor sebelum ini.

“Sejarah ini juga bakal berulang dalam PRN enam negeri terutama untuk kerusi-kerusi Bersatu dalam PRN Selangor sekarang,” katanya.

Selain itu, beliau mendakwa, pemilihan calon-calon berat sebelah kepada pihak ‘kartel’ tertentu serta calon-calon bidan terjun yang baharu dijadikan ahli parti untuk dipertanding dalam PRN Selangor, menyebabkan pemberontakan di sembilan bahagian Bersatu di negeri ini.

“Ini sehinggalah terdapat insiden membakar bendera Perikatan Nasional (PN) secara terbuka tanda protes akar umbi terhadap percaturan Jawatankuasa Pemilihan atau saringan calon yang bertanggungjawab terhadap penamaan calon-calon PRN tersebut tanpa mengambil kira sentimen penerimaan pihak bahagian dan jentera,” katanya.

Katanya lagi, kelemahan Lembaga Disiplin parti yang lewat dan banyak kerenah telah menyebabkan watak-watak yang telah keluar dan mengkhianati parti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu boleh kembali mendakwa diri sebagai masih menjadi ahli Bersatu untuk dipilih menjadi calon dalam PRN.

“Tidak hairanlah jika Parti Bersatu tidak lagi menjadi wadah tumpuan penghijrahan mereka dari parti-parti lain atau menjadi sasaran kemasukan anak-anak muda serta orang baru dalam politik.

“Ini memandangkan kerapuhan sistem pengurusan keahlian, kedudukan MPT yang hanya menjadi tempat diberi taklimat tentang keputusan dan tindakan yang telah pun dibuat terlebih dahulu oleh biro politik, hingga kepada tiada usaha jelas bagi mewujudkan barisan kepimpinan parti berkualiti.

“Lebih memalukan Bersatu hakikatnya semakin tidak dihormati, malah ada permintaan dan keputusan rundingan tidak diendah oleh parti rakan komponen dalam PN apabila mereka tahu bahawa Bersatu semakin lemah dari segi kepimpinan dan pengaruh,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya