Exco Terengganu beri fokus tambah hasil pendapatan negeri - Utusan Malaysia

Exco Terengganu beri fokus tambah hasil pendapatan negeri

AHMAD Samsuri Mokhtar (kanan) bersalaman bersama kakitangan di Pejabat Menteri Besar di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Barisan kepimpinan negeri Terengganu yang baru dibentuk hari ini akan memberi fokus kepada usaha menambah hasil pendapatan negeri melalui pelbagai sektor untuk mengurangkan kebergantungan terhadap royalti petroleum pada masa ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, antara tumpuan utamanya ialah mewujudkan lebih banyak kawasan industri baharu seiring kewujudan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menurutnya, pembangunan pusat perindustrian baharu itu terutama di utara Terengganu iaitu Besut dan Setiu secara tidak langsung dapat merancakkan lagi perkhidmatan kargo, sekali gus mengubah wajah  pembangunan ekonomi di dua daerah tersebut. 

“Kita kena bergerak sekarang kerana dalam masa tiga tahun nanti apabila ECRL sudah beroperasi, baru kita nak buat kawasan industri, ia telah terlambat.

“Kita akan mengerahkan seluruh jentera supaya bergerak ke arah mewujudkan kawasan industri yang baharu untuk mengambil manfaat daripada kewujudan ECRL terutama di kawasan yang kurang diberi fokus sebelum ini seperti kawasan utara Terengganu iaitu Besut dan Setiu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pertama penggal baharu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, pihaknya juga telah mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat dari Korea termasuk perjumpaan bersama dutanya mengenai peluang pelaburan dalam industri hidrogen di Terengganu.

“Ini akan menambah peluang pekerjaan dan boleh dikatakan hasil baharu dari segi percukaian kepada PBT (Pihak Berkuasa Tempatan).

“Kita akan teroka untuk membangunkan ekonomi berasaskan hidrogen yang kini mendapat permintaan tinggi sebagaimana yang menjadi trend pada masa sekarang,” katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri menjangka memperoleh hasil sebanyak RM100 juga setahun setelah menggubal Enakmen Sumber Air Terengganu (ESAT) pada tahun 2020 sebagai satu lagi sumber pendapatan baharu.

“Selain itu, kita akan tengok dan buat penilaian semula terhadap kadar cukai baharu dan cukai sedia ada seperti bahan-bahan galian dan mineral yang diambil dari bumi Terengganu kerana kadarnya sudah lama, hampir 20 tahun.

“Pelbagai hasil ini boleh meningkatkan pendapatan negeri untuk mengurangkan kebergantungan terhadap sumber royalti petroleum,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya