BUKIT KAYU HITAM: Enam peserta Quantum Metal Ekspedisi Perpaduan Watikah Kemerdekaan 66, London-Kuala Lumpur (QMEPWK66) yang berlepas dari London, 20 Jun lalu tiba di tanah air, hari ini.
Ekspedisi yang dilakukan sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-66 itu mengambil masa selama 66 hari, merentasi 66 buah bandar dan melalui 16 buah negara yang meliputi perjalanan sejauh hampir 22,000 kilometer.
Ketibaan mereka kira-kira pukul 12 tengah hari ini di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini disambut pelbagai pihak termasuk wakil Jabatan Imigresen, Tourism Malaysia dan Persatuan Superbikers Malaysia (SAM).
Ekspedisi tersebut akan singgah di Pulau Pinang sebelum meneruskan perjalanan ke ibu negara bagi menyertai perarakan sambutan Hari Kemerdekaan ke-66 di Putrajaya, pada Khamis ini.
QMEPWK66 membawa misi ‘memupuk semangat perpaduan untuk memelihara kedaulatan negara’ yang seterusnya memberi gambaran kepada dunia akan perpaduan rakyat Malaysia pelbagai kaum dalam menyokong usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara majmuk yang berjaya.
Program itu ibarat mengimbas kembali kenangan pada tahun 1957, apabila Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj membawa watikah pengisytiharan kemerdekaan Malaya dari London.
Sementara itu, Ketua Ekspedisi, Arep Kulal berkata, mereka bersyukur kerana akhirnya selamat kembali ke Malaysia setelah melalui pelbagai rintangan sepanjang perjalanan menaiki motosikal berkuasa tinggi.
“Cabaran yang dilalui amat sukar untuk digambarkan apabila kami berhadapan dengan keadaan jalan raya, etika pemanduan dan cuaca yang berbeza sepanjang laluan yang kami lalui.
“Namun kami bersyukur, segala cabaran tersebut tidak mematahkan semangat kami untuk meneruskan ekspedisi demi merealisasikan impian merdeka,” katanya ketika ditemui.
Pada sambutan itu, mereka turut diiringi kira-kira 274 peserta termasuk penunggang motosikal berkuasa tinggi daripada SAM yang menyertai Konvoi Kembara Merdeka 66 Malaysia Madani.
Timbalan Presiden SAM, Datuk Sulaiman Sami’aan berkata, aktiviti tersebut sebahagian daripada langkah untuk menyampaikan semangat cinta terhadap negara bagi mengingati perjuangan perit golongan terdahulu untuk mencapai kemerdekaan.
“Hari ini SAM menyambut ketibaan enam peserta QMEPWK66 yang menjayakan misi mereka dari London sebelum berakhir di Putrajaya, Alhamdulillah kesemua mereka selamat tiba dan kita mengatur beberapa aktiviti sampingan untuk menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan tahun ini,” katanya.-UTUSAN