PETALING JAYA: Kehilangan ibu tersayang tahun lepas menyebabkan penyanyi, Elmy Rahman mengambil masa sebentar sebelum melancarkan single keduanya, Jiwa Mati.
Kongsi Elmy, dia terpaksa menangguhkan perancangan melancarkan single keduanya kerana selepas pemergian ibunya, dia lebih banyak menyendiri dan bersedih akibat rasa kehilangan yang cukup memeritkan.
Namun dia bangkit daripada kesedihan dan nekad meneruskan minat serta impian menjadi penyanyi professional dengan melancarkan lagu tersebut pada Julai lalu.
“Kekuatan lagu ini adalah pada melodi yang mudah diikuti dan maksud lirik lagu yang mendalam namun mudah untuk sesiapa sahaja memahaminya.
“Gabungan kedua-dua elemen itu, menjadikan lagu ini bingkisan yang cukup istimewa diharap mampu menarik minat pencinta muzik tempatan,” ujarnya.
Bercakap tentang Jiwa Mati, lagu tersebut adalah kesinambungan daripada single pertamanya, Hapus dan merupakan ciptaan Tam Cobain serta Yon Iskandar manakala lirik ditulis oleh Farazila AJ.
“Lirik lagu ini berkisarkan kesinambungan Hapus yang menceritakan tentang kesetiaan seorang lelaki terhadap wanita yang dikasihi.
Dia berusaha mencari kebahagian dalam meneruskan kehidupan sungguhpun kesetiaannya tidak dihargai. Nekad terus bangun dan melupakan kisah silam dalam meneruskan kehidupan yang lebih indah di hadapan,” ujarnya.
Ditanya untuk perancangan akan datang, Elmy dalam pada masa yang sama sedang mencari material single ketiga yang mungkin berkonsepkan pop irama Malaysia.
“Saya memang meminati genre tersebut sejak kecil dan sering menyanyikan lagu lagu irama Malaysia di majlis majlis yang diacarakannya.
“Dalam pada masa yang sama, saya juga sedang berjinak jinak menjadi pelakon selepas terlibat dalam drama yang ditayangkan di TV3 Ramadan lalu,” katanya.
Jiwa Mati kini boleh distrim di semua aplikasi penstriman manakala lirik video boleh ditonton di saluran youtube, Elmy Rahman.