KEPALA BATAS: Kementerian Pendidikan sentiasa komited dalam usaha meningkatkan akses pendidikan termasuk untuk anak-anak berkeperluan khas.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ini bagi memastikan tidak ada seorang pun daripada golongan itu tercicir atau ketinggalan dalam mendapatkan akses pendidikan yang sepatutnya.
“Kita memang bagi tumpuan penuh khusus untuk anak-anak berkeperluan khas ini dan saya percaya, pembukaan sekolah pendidikan khas baharu di Bumbong Lima ini yang sebelumnya amat dinantikan oleh masyarakat Pulau Pinang kini telah menjadi kenyataan,” katanya.
Beliau berucap sempena perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK) Bumbong Lima yang juga sekolah pendidikan khas kelima di Pulau Pinang, di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Shafruddin Ali Hussain; Pengarah Bahagian Pendidikan Khas di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Salmah Jopri dan Pengarah Pendidikan negeri, Abdul Rashid Abdul Samad.
Bernilai RM47.5 juta, sekolah yang telah diserahkan bangunannya kepada KPM sejak 20 Julai lalu itu mempunyai dua blok iaitu blok pentadbiran serta blok akademik yang menempatkan sebanyak 24 bilik darjah.
Ia turut dilengkapi dengan empat buah bengkel Pendidikan Vokasional Menengah Atas yang mengandungi tempat penyediaan dan pembuatan makanan, servis dan penyelenggaraan motosikal, perkhidmatan estetik serta artis multimedia visual selain kantin, surau, padang dan beberapa kemudahan lain.
Selain menjadi sekolah pendidikan khas kelima di Pulau Pinang, SMKPK juga merupakan sekolah pendidikan khas yang ke-35 dibangunkan di negara ini dan terbuka untuk semua kategori pendidikan khas iaitu ketidakupayaan pendengaran, penglihatan, pertuturan, fizikal dan masalah pembelajaran.
Dalam pada itu, Fadhlina berharap SMKPK akan menerajui kemajuan serta kejayaan anak-anak berkeperluan khas pada masa depan.
Katanya, dalam hal ini, murid di sekolah itu bukan sahaja boleh menyumbang kepada pendidikan negara secara khasnya, tetapi turut menyumbang kepada negara secara amnya jika menerima akses dan fasiliti yang mencukupi.
“Alhamdulillah, sekolah ini (SMKPK) nampaknya dari segi fasiliti amat mengagumkan dan kita akan menerima kehadiran anak-anak murid (kumpulan pelajar pertama) pada Oktober ini.
“Ia mampu menampung sehingga 192 orang murid dengan jumlah yang tinggal di asrama yang disediakan ialah seramai 80 orang (bagi setiap jantina),” ujar beliau. – UTUSAN