PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Petaling Jaya dengan kerjasama Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) komited menganjurkan Ekspo Buku Petaling Jaya atau dikenali sebagai PJBX bagi tahun 2023.
Program ini merupakan ‘Signature Events’ Learning City setelah dinobatkan sebagai Bandar Pembelajaran oleh UNESCO pada 2019.
Cetusan idea penganjuran ekspo ini ialah untuk menarik minat danmenyemai budaya membaca pelbagai lapisan masyarakat di Petaling Jaya.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir berkata, PJBX akan diadakan pada 9 September hingga 17 September 2023 bermula pukul 9.00 pagi hingga 6.00 petang di Dewan Sivik MBPJ.
Di samping itu PJBX kali ini mendapat sokongan dan kerjasama dari Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Utama (PPDPU) yang akan turut mengisi slot aktiviti sepanjang program ini berlangsung antaranya Pertandingan Amalan Terbaik STEM, Pertandingan Nyanyian Berirama, Pertandingan Nyanyian Solo -prasekolah dan lain-lain.
Manakala bagi kanak-kanak yang kurang upaya juga disediakan slot untuk disertai oleh golongan ini antaranya Pertandingan Mewarna dan Inclusive Talk.
Rakan-rakan strategik Learning City yang terdiri dari Institusi Pengajian Awam dan swasta juga turut menjayakan slot aktiviti antaranya Road Safety Awareness oleh MITRANS Uitm, Becoming An Engineer: Pathways & Tips oleh First City University, Pemeriksaan Gigi secara percuma oleh Lincoln University, The Importance of Early Childhood Education oleh Saito University College dan lain-lain.
Menurut Mohamad Azhan, bagi pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut berpeluang mengikuti Seminar Perdana SPM yang akan mengupas soalan-soalan tahun lalu dan juga perkongsian tips menjawab soalan khususnya bagi mata pelajaran teras.
Pada kali ini sebanyak 30 penerbit buku yang akan turut serta dan menawarkan harga yang menarik antaranya Karangkraf, PTS, Pelangi, IBDE Ilham dan banyak lagi. Menariknya kali ini dibawakan khas maskot Didi & Friends yang turut menceriakan pengunjung ke PJBX pada 9 dan 10 September 2023.
“Selaras dengan visi menjadikan Petaling Jaya Ke Arah Bandaraya Pintar, Mampan, Berdaya Tahan dan Dinamik, MBPJ sentiasa menyokong usaha menarik minat membaca di kalangan warga Petaling Jaya.
“Justeru, saya berharap dengan penganjuran Ekspo Buku Petaling Jaya ini pelbagai buku rujukan, ilmiah, novel, latih tubi dan lain-lain untuk anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan dapat diperolehi di sini.
“Saya sekali lagi menyeru semua warga Petaling Jaya khasnya dan rakyat Malaysia untuk sama -sama hadir ke Ekspo Buku Petaling Jaya (PJBX) di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya,” katanya. – UTUSAN