KETIKA meluncurkan inisiatif Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat pada pagi Khamis, 27 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal ucapannya, memetik ayat yang tercatat dalam warkah yang diutuskan oleh Saidina Ali Bin Abi Talib kepada Gabenor Mesir, Malik Bin Al-Haris Al-Ashtar.
Dalam warkah berkenaan yang diutus sempena pelantikan Malik sebagai Gabenor Mesir pada tahun 655 Hijrah, Saidina Ali antara lain menitipkan pesanan dan peringatan mengenai tanggungjawab pemerintah terhadap rakyat dan nasihat supaya menggalas tanggungjawab itu dengan amanah serta adil.
Maksud pesanan itu ialah buatlah sesuatu itu tepat pada masanya dan kena pada tempatnya. Apabila kata sepakat telah dicapai, janganlah kamu cuba menyuarakan pendapat peribadi kamu dan janganlah kamu lalai melaksanakan kewajiban yang harus dipikul kerana orang ramai akan sentiasa memerhatikan kamu dan kamu bertanggungjawab terhadap segala-gala yang kamu lakukan untuk rakyat.
Mesej yang sama turut disampaikan oleh Datuk Seri Anwar di Masjid Putra, Putrajaya pada 31 Disember 2022 dalam Amanat Khas Tahun Baharu 2023 dan diulangi lagi oleh beliau ketika mengumumkan inisiatif dirangka Kerajaan Perpaduan dalam usaha menstruktur semula ekonomi negara ke arah menjadikan Malaysia sebagai peneraju eknomi Asia dan meningkatkan kualiti hidup seluruh rakyatnya.
Pelancaran kerangka Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat diangkat hasil perbincangan pelbagai pihak, pakar ekonomi, perancang, penjawat awam dan diperkemas setelah mendapat pandangan golongan pekerja, petani, wanita, peneroka dan belia melalui siri wacana dan hasil pertemuan dengan rakyat di masjid, warung serta kampus universiti.
Ikhtiar terbaharu ini segera dilancarkan ketika kita terperangkap dalam kitaran ekonomi yang disifatkan Perdana Menteri sebagai berbahaya, iaitu meliputi kos sara hidup makin tinggi, gaji dan keuntungan pula rendah serta kurangnya nilai daya saing.
Dua fokus utama
Menggariskan dua fokus utama, Ekonomi Madani bertujuan menstruktur semula ekonomi agar Malaysia kembali gah menjadi peneraju ekonomi Asia dan kualiti hidup rakyat terus diangkat melalui peningkatan pemacuan ekonomi, menggalakkan pelaburan dan memperkukuh industri tempatan supaya lebih inovatif dan berdaya saing serta mampu dilonjakkan ke pasaran global.
Peningkatan kualiti hidup dirangka melalui usaha memperkasa rakyat, biar apa pun status mereka dan di mana pun mereka berada bagi membina Malaysia yang lebih baik untuk rakyat bukan sahaja pada hari ini, tetapi untuk anak-anak kita pada masa akan datang.
Adanya bantuan serta dukungan yang akan disediakan oleh kerajaan kepada golongan memerlukan, sekali gus menyaksikan segenap lapisan rakyat mampu mengecap nikmat pembangunan ekonomi negara secara saksama.
Tekad kerajaan itu diberikan fokus umpama ‘menaikkan siling’ dan ‘menaikkan lantai’, dua komponen penting dalam sebuah rumah yang diubah menjadi lambang wawasan holistik Kerajaan Perpaduan untuk meninggikan kedudukan ekonomi negara dan pada masa yang sama mengangkat martabat hidup rakyatnya.
Dalam aspek ‘menaikkan siling’, tumpuannya bagi mereformasi dan menstruktur semula ekonomi agar dapat mengecapi lebih kekayaan, antara lain dengan menganjakkannya kepada ekonomi lebih global dan kompleks bagi menjadikan Malaysia hab serantau, mencipta lebih banyak kejayaan sebagai juara rantauan sambil menjamin sekuriti dan kemampanan model ekonomi kita.
Sisi ‘menaikkan lantai’ pula bertumpu kepada rakyat dengan memastikan kekayaan dikecapi dapat dikongsi bersama dengan lebih saksama, termasuk mewujudkan pekerjaan yang dapat memberi taraf hidup bermakna serta memberi peluang adil untuk semua lapisan masyarakat menggapai kejayaan dan menikmati perkhidmatan bertaraf dunia, terutama menambah baik kualiti pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan infrastruktur asas untuk penduduk bandar dan desa.
Tujuh penanda aras
Bagi merealisasikan wawasan Ekonomi Madani yang akan dibina berasaskan nilai-nilai Madani, ia memerlukan penggemblengan seluruh rakyat Malaysia mendokong tujuh penanda aras yang ditetapkan sebagai sasaran jangka masa sederhana. Pertamanya ialah membawa Malaysia ke tahap kedudukan antara 30 ekonomi terbesar di dunia.
Penanda aras kedua adalah bagi mencapai Indeks Daya Saing Global di tangga ke-12 teratas dunia, diikuti sasaran agar peratusan pendapatan buruh mencapai 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan, melebihi sasaran 40 peratus yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) menjelang 2025.
Penanda aras keempat ialah melihat kadar penyertaan wanita dalam sektor tenaga buruh mencapai 60 peratus, manakala Indeks Pembangunan Manusia pula ingin dilonjakkan ke tangga 25 teratas dunia dan Indeks Persepsi Rasuah pada tangga 25 teratas dunia, diikuti penanda aras ketujuh untuk mencapai kemampanan fiskal dengan defisit fiskal mencapai 3 peratus atau lebih rendah.
Beberapa dasar jangka panjang dan sederhana juga dirangka untuk menyambung laluan pertumbuhan Malaysia, antaranya kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan melabur RM1 bilion dana tambahan secara padanan dengan dana swasta bagi menyokong syarikat pemula tempatan dan mendorong teknopreneur, termasuk memastikan penyediaan dana bagi setiap fasa syarikat yang berpertumbuhan tinggi.
Ikhtiar seterusnya ialah menambah baik skim pinjaman di bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dengan menyediakan peruntukan mencecah RM5 bilion untuk jaminan pembiayaan sehingga 120 peratus daripada harga rumah bernilai sehingga RM300,000. Ini membolehkan semua kos pemilikan rumah ditampung melalui pinjaman, termasuk pembiayaan pokok, yuran guaman, yuran penilaian, insurans, pembelian perabot dan kos ubah suai.
Selain itu, peruntukan tambahan RM400 juta pula disediakan untuk skim pinjaman mikro di bawah agensi termasuk SME Corp, TEKUN, Mara dan Teraju, malah kerajaan juga bersetuju menyediakan dana sekitar RM1 bilion untuk inisiatif kredit e-tunai sebanyak RM100 kepada semua rakyat dewasa Malaysia berpendapatan RM100,000 setahun dan ke bawah yang dianggar memanfaatkan lebih 10 juta rakyat dalam kalangan B40 dan M40 dengan dana sekitar RM1 bilion disediakan.
Kerajaan juga menyasarkan menambah pekerjaan dengan gaji bermaruah dan munasabah, melaksana dasar untuk meningkatkan kadar upah yang selaras dengan tahap negara, mengkaji semula paras gaji minimum, memperkenal undang-undang bagi menjamin persekitaran kerja serta pelaksanaan levi pekerja asing secara berperingkat untuk mengurangkan kebergantungan negara kepada buruh asing kurang mahir.
Kesaksamaan peluang akan diwujudkan tanpa mengira jantina, kaum atau latar belakang dengan mengutamakan golongan berpendapatan rendah dalam pemberian biasiswa dan pendidikan berasrama penuh, mengukuhkan nilai rantaian ekonomi negeri berdasarkan tumpuan sektor masing-masing, meningkatkan daya huni dan kemampanan bandar, memperbaiki aspek perundangan dan kawal selia serta program sokongan bagi menaikkan penyertaan buruh wanita.
Pelbagai lagi inisiatif disepakati kerajaan dan pemegang taruh, termasuk mewujudkan jaringan perlindungan sosial untuk semua, termasuk melalui Insurans Sosial untuk memanfaatkan lebih 40 peratus tenaga buruh sektor formal dan tidak formal yang tidak mendapat perlindungan untuk simpanan persaraan sewajarnya, selain memastikan tahap simpanan persaraan mencukupi dan menerus serta menguatkan lagi jaring keselamatan sosial rakyat.
Reformasi perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan sumber manusia turut diberi perhatian oleh kerajaan, selain usaha memampankan sektor kesihatan berdasarkan garis panduan Kertas Putih Kesihatan, merawat pesakit berkonsepkan pencegahan dan jaminan pemberian pendidikan untuk semua rakyat Malaysia.
Tumpuan-tumpuan lain
Turut diberi tumpuan ialah kemudahan pengangkutan awam melalui perancangan menyatukan pengurusan pengangkutan awam darat untuk mengoptimumkan semua aset sedia ada dan menambah baik isu jaringan terakhir atau last mile connectivity, juga kemudahan asas dengan menyelesaikan akses bekalan air di Sabah dan Kelantan agar semua rakyat menikmati akses sejagat kepada infrastruktur asas.
Bagi membantu rakyat memiliki kediaman sendiri, kerangka Ekonomi Madani menetapkan sasaran perumahan mampu milik untuk semua, mengusahakan Pelan Tindakan Perumahan Negara yang antaranya merangkumi keperluan bekalan rumah berpandukan metrik seperti catuan harga rumah median untuk pendapatan median, manakala penyediaan perumahan awam diteruskan di samping merancakkan pasaran sewa sebagai usaha memenuhi keperluan perumahan.
Bagi mencapai lonjakan ‘siling’ negara, usaha memajukan ekonomi Malaysia diteruskan selaras dengan objektif untuk menjadikan negara kita peneraju ekonomi Asia. Garis panduan yang mengandungi tujuh tumpuan diketengahkan, merangkumi topik agenda serantau (ASEAN), aspek pelaburan, meluaskan pasaran dan potensi perniagaan tempatan, peneraju ekonomi Islam bersama usaha merancakkan usahawan mikro dan sektor tidak formal, melonjakkan pertumbuhan hijau demi pertahanan iklim, selain aspek penggunaan tanah dan keterjaminan makanan.
Realistiknya, dasar dan penanda aras utama sebagai sasaran jangka sederhana serta panjang untuk menyambung trajektori pertumbuhan Malaysia dalam Ekonomi Madani boleh dicapai melalui kerjasama semua kementerian melalui kerangka khusus termasuk Pelan Induk Perindustrian, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional Malaysia (NETR) dan Kajian Separuh Penggal RMK12. – UTUSAN