KANGAR: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Sumber Air Negeri Perlis 2023 dan sekali gus memansuhkan Enakmen Air 2011 (Enakmen 17).
RUU baharu itu bakal memperkemaskan lagi pengurusan air di negeri ini dalam memastikan pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air yang lebih baik.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, terdapat beberapa halangan dalam Enakmen Air 2011 sebelum ini dari segi tafsiran yang diguna pakai, liputan aktiviti berkaitan sumber air terhad serta peruntukan undang-undang terbatas.
“Ini menyebabakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tidak dapat menjalankan fungsi dan tanggungjawab dengan lebih berkesan.
“Sejak Enakmen Air 2011 berkuatkuasa, ia belum pernah dipinda atau ditambah baik berbanding negeri-negeri lain seperti Kedah, Melaka, Kelantan dan Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas sidang DUN Perlis di sini, hari ini.
RUU yang dibacakan tiga kali pada persidangan hari ini diluluskan dengan mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis.
Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, pada tahun lalu, JPS telah mengadakan beberapa sesi perbincangan termasuk Bengkel Semakan Pindaan Enakmen Air 2011 Negeri Perlis dan Bengkel Pemurnian Semakan Pindaan Enakmen Air.
“Hasil bengkel tersebut didapati terlalu banyak pindaan yang perlu dilaksanakan dan oleh demikian satu enakmen baharu telah dicadangkan bagi menggantikan Enakmen Air 2011 ini,” katanya.
Di samping itu, Mohd. Shukri berkata, secara umumnya terdapat tiga asas utama pertimbangan yang mendorong kepada keputusan pindaan tersebut iaitu bagi pengemaskinian undang-undang berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air di negeri ini.
Katanya, selain itu, pindaan itu juga adalah sebagai penambahan liputan aktiviti berkaitan sumber air di bawah kawalan JPS.
“Malah, ia juga bagi mewujudkan peruntukan proses pelesenan dan kutipan hasil berkaitan sumber air di negeri ini.
“Enakmen ini juga membolehkan JPS merancang dan menguruskan sumber air dengan lebih holistik dan dapat mengambil tindakan berkesan terhadap sebarang isu pencemaran air,” katanya.-UTUSAN