DUN Kijal bukan lagi kubu kuat BN - Razali

DUN Kijal bukan lagi kubu kuat BN – Razali

RAZALI Idris (kiri) menyantuni penduduk dan peniaga di pasar malam Kijal, Kemaman, semalam. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal kini bukan lagi kubu kuat Barisan Nasional (BN), walaupun penyandangnya, Datuk Seri Ahmad Said menang di kerusi itu selama sembilan penggal sejak 1990. 

Calon Perikatan Nasional (PN) DUN Kijal, Datuk Razali Idris berkata, sokongan terhadap Ahmad yang juga bekas Menteri Besar Terengganu itu dilihat semakin berkurangan setiap kali pilihan raya. 

“Mana kuat lagi (BN di DUN Kijal), tidak kuat. Kalau kuat itu pun dahulu, ketika saya masih lagi dalam UMNO. Sekarang kita nampak sokongan terhadap BN itu tidak kuat. 

“Ia terbukti apabila setiap lima tahun, kemenangan Ahmad Said dalam setiap Pilihan Raya Umum (PRU) semakin lama, semakin kurang sehinggalah PRU14 apabila beliau hanya memperoleh 9,545 undian dengan majoriti yang rendah iaitu 1,265 undian, berbanding tahun-tahun sebelumnya, majoriti diperoleh beliau tinggi,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyantuni penduduk dan peniaga di pasar malam Kijal di sini, semalam.

Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Terengganu berkata, sokongan terhadap Ahmad juga jelas menurun ketika beliau bertanding di kerusi Parlimen Kemaman tahun lalu. 

“Ketika bertanding di kerusi Parlimen, beliau kalah bagi peti undi DUN Kijal, jadi DUN Kijal ini bukan lagi Kubu kuat BN dan sokongan rakyat mula berubah,” katanya. 

Bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) itu berkata, meskipun beliau bukan anak kelahiran Kijal, penduduk di DUN tersebut tidak asing baginya kerana beliau mempunyai ramai saudara dan rakan di situ. 

“Ketika saya menjadi Pengerusi Ketengah, saya sering turun padang mendekati penduduk di Kijal kerana sebahagian daripada kawasan Kijal berada di bawah wilayah Ketengah, jadi saya bukanlah orang luar dan saya tidak janggal di sini,” katanya. 

Pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Razali dan Ahmad.

Untuk rekod, Ahmad menyandang kerusi DUN Kijal sejak 1990 selama sembilan penggal dan pernah dikalahkan Mehamed Sulong dari Pas pada tahun 1999 dengan hanya 264 undian. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya