BALING: Dua pengunjung yang sedang beriadah di Lata Bayu, Asam Jawa di sini terperangkap dalam kejadian kepala air yang berlaku di kawasan air terjun selepas hujan lebat petang tadi.
Kedua-dua mereka berjaya diselamatkan pada pukul 5.55 petang setelah panggilan kecemasan diterima Angkatan Pertahanan Awam (APM) kira-kira sejam sebelum itu.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd. Faizol Ab. Aziz berkata, salah seorang mangsa yang merupakan wanita berusia 22 tahun dikejarkan ke Hospital Baling setelah dipercayai mengalami kecederaan di kepala.
“Aduan diterima daripada orang awam yang memaklumkan terdapat mangsa terperangkap di Lata Bayu disebabkan kepala air yang berlaku.
“APM tiba di lokasi kejadian pada pukul 5.19 petang dengan kekuatan sembilan anggota bersama dua kenderaan,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.
Justeru, APM Baling menasihatkan orang awam yang ingin melakukan aktiviti riadah di kawasan air terjun sentiasa berhati-hati dan segera meninggalkan kawasan tersebut jika terdapat tanda-tanda kepala air. –UTUSAN