Dua nelayan warga Indonesia didakwa seludup 38 migran - Utusan Malaysia

Dua nelayan warga Indonesia didakwa seludup 38 migran

DUA nelayan warga Indonesia, Aeru Azhari (dua dari kiri) dan Zulkifli (dua dari kanan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan atas pertuduhan menyeludup 38 migran di perairan laut Sungai Tiang, Rungkup, tiga minggu lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Dua nelayan warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyeludup 38 migran di perairan laut Sungai Tiang, Rungkup, tiga minggu lalu.

Tertuduh, Aeru Azhari, 30, dan Zulkifli, 43, didakwa secara bersama dengan seorang lagi yang masih bebas melakukan penyeludupan 38 migran warga Indonesia berusia 21 hingga 47 tahun.

Kesalahan tersebut dilakukan di beting perairan laut Sungai Tiang dalam daerah Hilir Perak pada pukul 8.30 pagi, 10 Ogos 2023.

Pertuduhan terhadap kedua-dua lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, atau kedua-duanya sekali.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Melayu di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj manakala kedua-dua lelaki terbabit tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 13 Oktober depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan izin untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Media pada 10 Ogos lalu melaporkan, cubaan 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyusup keluar dari negara ini dengan menaiki sebuah bot gagal, apabila ditahan pihak berkuasa kira-kira 1.0 batu nautika dari Perairan Pantai Sungai Tiang, Rungkup, Bagan Datuk.

Bot berkenaan dikesan pada pukul 8 pagi selepas tersangkut pada beting pasir ekoran paras air laut surut.

Berdasarkan siasatan, bot yang membawa warga asing tanpa permit kerja yang sah itu dalam perjalanan menuju ke Tanjung Balai, Sumatera Utara, Indonesia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya