KUALA TERENGGANU: Dua nelayan tempatan berdepan detik cemas apabila bot gentian kaca dinaiki mereka terbalik di perairan Pulau Kapas dekat Marang, semalam.
Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Kepten (M) Mohd. Khairulanuar Abd. Majid berkata, kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan nelayan yang berada berdekatan.
Menurut beliau, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 malam ketika mangsa, Rozaki Ibrahim, 47, dan Mohd. Zaid Embong, 58, berada pada jarak 2.1 batu nautika dari Pulau Kapas.
“Sebaik menerima maklumat sebuah bot gentian kaca terbalik, misi mencari dan menyelamat terus diaktifkan dengan menggerakkan bot peronda ke lokasi kejadian.
“Kedua-dua mangsa yang merupakan nelayan tempatan itu ditemui dalam keadaan selamat dan disahkan memakai jaket keselamatan ketika bot berkenaan terbalik.
“Maritim Malaysia negeri membawa kedua-dua mangsa ke Jeti Marang untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, komuniti maritim perlu mengutamakan aspek keselamatan dan sentiasa berhati-hati ketika berada di tengah laut terutama dalam cuaca yang tidak menentu. – UTUSAN