Dua defendan yang disaman Siti Nordiana diarah lantik peguam

Dua defendan yang disaman Siti Nordiana diarah lantik peguam baharu

SITI Nordiana
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan Sam Musyadzafar Samin dan Razidah Ahmad Senusi yang disaman Siti Nordiana Alias, melantik peguam baharu mewakili mereka dalam perbicaraan kes saman fitnah yang difailkan penyanyi itu.

Sam Musyadzafar yang merupakan Pegawai Perhubungan Awam syarikat rakaman dan Razidah yang bekerja sebagai jurusolek artis masing-masing merupakan defendan keempat dan kelima dalam kes saman itu.

Perkara itu dimaklumkan peguam Abang Azlan Abang Ariffin yang mewakili Siti Nordiana ketika dihubungi selepas pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Dr. John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee hari ini.

Menurut peguam itu, mahkamah telah membenarkan permohonan peguam Fatin Syaza Irdina Muhamad Eddin Syazri yang mewakili kedua-dua defendan untuk menarik diri dalam saman tersebut.

“Dengan penarikan peguam itu, mahkamah mengarahkan supaya kedua-dua defendan melantik peguam baharu dalam tempoh satu minggu atau selewat-lewatnya 2 minggu daripada tarikh hari ini.

“Pada masa sama tarikh-tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini dikekalkan,” kata Abang Azlan.

Tambah peguam itu, justeru mahkamah kemudian telah menetapkan tarikh pengurusan kes seterusnya pada 12 September ini dan pada tarikh itu kedua-dua defendan perlu memaklumkan mengenai status pelantikan peguam baharu mereka.

Sebelum ini, mahkamah telah menetapkan perbicaraan kes saman itu selama 12 hari bermula Oktober di Mahkamah Tinggi di sini.

Tarikh-tarikh itu ialah 3,4 dan 5 Oktober, 7, 8, 9, 28, 29 dan 30 November serta 5, 6 dan 7 Disember ini.

Sebelum ini, penyanyi yang dikenali sebagai Nana selaku plaintif menamakan Lan Solo, atau nama sebenarnya Mohd. Razlan Mohamed Yusof, 36; isterinya Nur Sheila Hassim, 36; Zuraidah Badron, 35, atau lebih dikenali Syura, Sam Musyadzafar, 43, serta Razidah, 42, masing-masing sebagai defendan pertama hingga kelima.

Siti Nordiana, 39, memfailkan saman itu menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates pada 30 Julai 2021.

Pada Januari tahun lalu, mahkamah sama membenarkan permohonan dua daripada lima individu yang disaman Siti Nordiana untuk memindahkan prosiding perbicaraan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Dalam pernyataan tuntutannya, Siti Nordiana mendakwa pada 20 Julai 2021, melalui siaran langsung yang dikendalikan Nur Sheila dan disertai empat defendan lain, menerusi akaun Instagram masing-masing menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.

Siti Nordiana mendakwa kata-kata fitnah itu membawa maksud antaranya beliau bukan seorang artis yang bersih dan dihormati orang, seorang yang ego, tidak ingin mendengar nasihat dalam segala perkara, tidak menghormati orang lain dan menggunakan wang serta populariti untuk memastikan dirinya dihormati.

Penyanyi itu turut mendakwa kelima-lima defendan telah memadam siaran langsung daripada akaun Instagram masing-masing, namun ia tular serta telah dimuat naik semula ke akaun Youtube dan masih boleh ditonton oleh orang ramai.

Siti Nordiana mendakwa jumlah tontonan untuk siaran langsung yang dimuat naik ke akaun Youtube dijangka bertambah dan reputasi beliau telah dirosakkan secara serius dalam kalangan orang ramai serta penaja yang mengambil serta melantiknya sebagai model dan duta produk.

Plaintif mendakwa sebelum memulakan tindakan saman itu, beliau melalui peguamnya menyerahkan notis tuntutan melalui serahan tangan dan emel kepada kesemua defendan yang menuntut antara lain permohonan maaf dalam tempoh 24 jam selain ganti rugi sebanyak RM200,000, namun mereka gagal berbuat demikian.

Sehubungan itu, Siti Nordiana menuntut kesemua defendan secara berasingan menyiarkan permohonan maaf yang jelas dan tidak bersyarat dalam akhbar, Instagram serta Facebook, secara berterusan selama dua bulan atau mana-mana tempoh yang dianggap adil dan wajar oleh mahkamah.

Justeru beliau menuntut ganti rugi am sebanyak RM500,000 daripada setiap defendan, ganti rugi khas, teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya