MEMINATI penyanyi legenda rock tanah air, Awie dari kumpulan Wings, Reyzal Yazmi memilih lagu berkonsepkan rock untuk single pertamanya berjudul Mata.
Reyzal atau nama penuhnya, Muhammad Reyzal Mohd Yazmi ialah penyanyi muda yang baru membina namanya dalam industri muzik.
Reyzal juga lebih mesra dengan gelaran singkatan Rey, mesra dikenali sebagai ‘anak Awie’ dalam laman sosial TikTok kerana wajahnya yang mirip dengan penyanyi rock Malaysia, Awie.
Bukan sahaja mempunyai kebolehan menyanyi, Rey juga, berkebolehan dalam bidang Hair Stylish dan kini bekerja di sebuah premis dandanan rambut di Sentul, Kuala Lumpur.
Anak muda berasal dari Kuala Lumpur ini adalah seorang yang sentiasa terhibur dan suka menghiburkan sesiapa yang berada di sekelilingnya.
Seperti mimpi, Reyzal Yazmi tidak menyangka lagu yang ditulis untuk simpanannya sendiri dapat direalisasikan.
“Sebenarnya, lagu Mata ni saya tulis adalah berdasarkan apa yang pernah terjadi dalam hidup saya dulu. Namun, itu dulu, sekarang lain dan tak sangka pula dapat dijadikan lagu itu sebagai single pertama saya” ujar Reyzal.
Single yang dilancarkan baru-baru ini, merupakan naungan Sony Music Entertainment Malaysia dan RR Entertainment.
Keistimewaan Mata adalah dihasilkan oleh syarikat rakaman tempatan, RR Entertainment dan gubahan daripada HerdaSyira dan Reyzal Yazmi.
Penulisnya pula adalah Reyzal Yazmi sendiri. Lagu ini mengambil masa setahun untuk disiapkan bahagian liriknya sahaja serta mengambil masa selama dua tahun enam bulan untuk disiapkan hingga ke peringkat akhir.
Ditanya maksud yang tersurat di sebalik lagu ini, Rezal Yazmi mahu menyimpan maksudnya sebagai rahsia peribadi.
“Biarlah saya sahaja yang mengetahuinya. Saya hanya menyampaikan apa yang tersurat di hati dalam bentuk nyanyian dan saya sangat tidak menyangka impian saya akhirnya menjadi kenyataan,” tuturnya.
Perjalanan seni jejaka berusia 25 tahun ini bermula selepas menyertai rancangan realiti, I Can See Your Voice, baru-baru ini.
Selain memiliki tona suara bernada tinggi, Reyzal lebih selesa membuat lagu-lagu cover dalam platform TikTok sehingga bilangan pengikutnya bertambah dengan mendadak.
Mata boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.