PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenakan notis kompaun dan mengarahkan penutupan serta merta susulan kejadian tarian separa bogel di hadapan sebuah premis di Jalan Bukit Bintang yang tular dalam media sosial baru-baru ini.
Menurut DBKL, Jabatan Penguatkuasaan menjalankan satu tindakan khas di premis tersebut pada 23 Ogos lepas dengan hasil siasatan dan pemantauan mendapati premis tersebut mempunyai lesen komposit Kedai Runcit/Serbaneka/Pasar Mini (Barangan Kering Sahaja) bagi menjalankan aktiviti pasar raya.
“Bagaimanapun premis tersebut dikendalikan oleh empat orang pekerja warga asing yang tidak mempunyai permit kerja yang sah. Dua daripadanya adalah warganegara Bangladesh dan dua lagi merupakan warga negara Iran.
“Oleh itu, DBKL mengeluarkan satu notis notis kompaun kerana menggajikan pekerja warga asing tanpa permit kerja yang sah dan satu notis kompaun kerana menjalankan aktiviti selain yang dilesenkan. Premis tersebut juga diarahkan untuk ditutup serta merta kerana dikendalikan oleh bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, DBKL menambah, kejadian yang tular tentang tarian separa bogel itu berlaku pada 5 Julai lepas bersempena dengan sambutan ulang tahun premis tersebut.
Katanya, perkara itu berdasarkan makluman yang diterima daripada pekerja premis tersebut.
Sebelum ini, kecoh di media sosial apabila tular video berdurasi satu minit lima saat memaparkan aksi sekumpulan wanita yang berpakaian seksi sedang membuat tarian terbuka di hadapan premis berkenaan.
Tarian yang dipercayai dipanggil ‘ki dance re vhai’ itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. -UTUSAN