PETALING JAYA: Dasar pendidikan negara yang ingin dilaksanakan perlulah bebas daripada pengaruh politik dan populis, sebaliknya hendaklah memenuhi manfaat terbesar iaitu anak-anak di peringkat sekolah rendah sehingga tertinggi.
Pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, dasar yang dilaksanakan dengan berpaksikan politik bersifat populis hanya merugikan masa depan anak-anak dan sistem pendidikan negara itu sendiri.
Beliau berkata, sesuatu dasar yang tidak menepati prinsip pendidikan negara kadangkala dilihat sebagai sebuah idea yang baik namun dari segi konteks, ekosistem dan kandungannya boleh mendatang malapetaka terhadap masa depan.
“Kita tidak boleh lagi membenarkan sistem pendidikan digunakan oleh orang politik untuk mencari populariti memberikan (gambaran) seolah-olahnya apa yang mereka lakukan itu baik.
“Sebagai contoh, apa jadi dengan (dasar) Sekolahku Sejahtera, ia dikatakan untuk membina masyarakat sejahtera dan sebagainya. Ideanya baik tetapi isi kandungannya kosong. Ia tidak membawa kita ke mana-mana.
“Justeru, dasar untuk dilaksanakan perlulah berteraskan prinsip dan amalan serta perkara teras pendidikan jika hanya berpaksikan prinsip politik dan populis maka akhirnya kita sedang mempertaruh masa depan anak-anak dan sistem pendidikan negara,” katanya dalam satu klip video yang dimuat naik di Facebook miliknya.
Dalam video berdurasi lebih 16 minit itu, Anuar turut menggariskan beberapa contoh dasar yang padanya adalah merugikan semua pihak antaranya, membenarkan murid tempatan bersekolah di sekolah antarabangsa, membenarkan lepasan Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC) memohon kemasukan ke Institut Pendidikan Guru (IPG), pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
Selain itu, beliau juga turut menggariskan dasar Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan terbaharu, cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewujudkan sekolah khas untuk murid miskin.
“Amalan paling asas dalam sistem pendidikan negara adalah ia bersifat inklusif tanpa mengira latar belakang seseorang murid untuk belajar di satu ruang yang sama.
“Kita sudah melakukan kesilapan pada awal merdeka apabila membenarkan kewujudan sekolah vernakular tetapi selepas lebih 65 tahun merdeka ia sudah menjadi identiti dan sukar untuk dimansuhkan namun ia tidak sepatutnya berlaku pada awal merdeka.
“Kita sepatutnya hanya ada sekolah satu aliran sahaja untuk meraikan kepelbagaian dalam satu ruang yang sama tetapi perkara itu tidak berlaku dan inilah keadaan yang sedang berlaku di negara kerana kita membenarkan wujudnya kerencaman pendidikan sehingga ia menyebabkan anak-anak kita terpisah antara satu dengan lain,” katanya.
Oleh demikian, beliau menggesa ibu bapa dan seluruh ahli masyarakat untuk sentiasa mengambil tahu tentang segala dasar baharu yang ingin diperkenalkan oleh kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya sama-sama dapat mempersoalkan dan membincangkannya terlebih dahulu sebelum dilaksanakan.
“Soalan yang penting sepatutnya difahami adalah apakah perubahan yang kita lakukan itu benar-benar memberi manfaat kepada anak-anak. Jika perubahan semata-mata dilakukan untuk memenuhi maksud-maksud selain daripada pendidikan maka ia memberi satu keadaan yang tidak menyenangkan dan merugikan masa depan anak-anak,” katanya. – UTUSAN