Dana Marris dan REE: Sanusi saman Saifuddin

Dana Marris dan REE: Sanusi saman Saifuddin

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL dan MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memfailkan saman fitnah terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung isu dana Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) dan kecurian unsur nadir bumi (REE).

Saman tersebut difailkan pada 3 Ogos lalu melalui firma guaman, Tetuan Faizi & Associates di Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah dan sesalinan dokumen terbabit diperoleh media hari ini.

Menurut penyataan tuntutan yang difailkan, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri itu mendakwa Setiausaha PKR itu telah mengeluarkan beberapa kenyataan berbaur fitnah.

Kenyataan-kenyataan itu didakwa dilakukan pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Zakat Wakalah, Kementerian Dalam Negeri, bertempat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada 14 Julai lalu dan pada program Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah, bertempat di Padang Awam, Guar Chempedak, Yan, keesokan harinya.

Kenyataan-kenyataan berbaur fitnah tersebut kemudian telah diterbitkan semula oleh media cetak dan elektronik.

“Plaintif (Muhammad Sanusi) tidak pernah menyalahgunakan atau menggunakan sebarang peruntukan Marris bagi tujuan selain daripada yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

“Baki peruntukan Marris yang tidak dibelanjakan masih berada dalam simpanan tetap kerajaan negeri seperti yang dilaporkan dalam penyata kewangan serta diaudit oleh Jabatan Audit Negara,”Kata Muhammad Sanusi dalam penyataan tuntutannya.

Merujuk kepada kompaun RM500,000 yang kononnya beliau didenda berhubung kecurian REE, Muhammad Sanusi menjelaskan bahawa denda tersebut dikenakan kepada pihak ketiga yang menceroboh dan mencuri REE.

Pihak ketiga itu sebelum ini dilantik oleh Menteri Besar Incorporated untuk menbangunkan kawasan ladang hutan itu.

“Kompaun tersebut telah dikeluarkan bukan atas dasar kesalahan plaintif mencuri unsur nadir bumi tetapi kerana MBI adalah merupakan pemegang permit penggunaan Ladang Hutan tersebut.

“Kompaun tersebut telah dikeluarkan berikutan tindakan pihak ketiga yang beralamat di Kuala Krai, Kelantan melakukan aktiviti pencerobohan serta kegiatan mencuri unsur nadir bumi di Ladang Hutan tersebut. Pihak Ketiga tersebut telah pun menjelaskan kompaun tersebut.

“Kompaun tersebut tidak pernah ditujukan secara khusus kepada plaintif dan tiada sebarang keterangan atau dokumen bertulis yang menyatakan bahawa kompaun tersebut adalah ditujukan secara khusus kepada Plaintif,” kata Muhammad Sanusi.

Muhammad Sanusi selaku plaintif mendakwa, kenyataan-kenyataan berbaur fitnah itu secara tidak langsung telah menggambarkan beliau seorang pencuri, terlibat dalam kegiatan kecurian hasil bumi bagi tujuan mendapatkan kepentingan peribadi dan wang ringgit.

Selain itu, plaintif mendakwa kenyataan-kenyataan yang dibuat defendan turut menggambarkannya sebagai seorang Menteri Besar yang tidak kompeten dan terlibat dalam isu serta permasalahan tatakelola kewangan yang serius dalam pentadbiran negeri Jelapang Padi itu.

Muhammad Sanusi mendakwa kenyataan-kenyataan yang jelas merujuk kepada dirinya itu telah menyebabkannya imejnya sebagai ahli politik tercemar dan dipandang serong oleh masyarakat.

Beliau juga mendakwa kenyataan-kenyataan itu telah menyebabkan timbulnya tanggapan bahawa Muhammad Sanusi sanggup mempergunakan agama untuk kepentingan diri sendiri.

Plaintif juga mendakwa beliau telah mengalami tekanan emosi dan telah dikecam dengan hebat oleh warga maya melalui media-media sosial.

“Tindakan Defendan yang membuat kenyataan fitnah terhadap saya adalah jelas dan nyata sebahagian daripada bahan kempen beliau dan
serangan politik bagi memburuk-burukkan Perikatan Nasional supaya ia dapat memberikan kelebihan kepada kempen PH, BN dan PKR dalam Pilihan Raya Negeri Kedah.

“Adalah jelas perbuatan defendan
berniat jahat yang dirancang untuk memberi kelebihan kepada beliau dan parti politik beliau, tanpa sebarang niat untuk mendapatkan kebenaran dan penjelasan daripada saya mengenai fakta sebenar,” kata plaintif.

Sehubungan itu, Muhammad Sanusi menuntut agar Saifuddin membuat permohonan maaf secara terbuka di media cetak dan elektronik dalam mana 14 hari dari tarikh penghakiman.

Plaintif turut memohon perintah agar defendan menarik balik semua video berkaitan kenyataan-kenyataan fitnah itu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah itu juga memohon satu perintah injuksi bagi menghalang Saifuddin atau mana-mana ejen beliau agar tidak memuat naik, menyiarkan atau menerbitkan sebarang kenyataan atau video berkaitan isu dana Marris dan REE.

Muhammad Sanusi turut memohon ialah ganti rugi am, teruk serta teladan yang akan ditaksirkan oleh Mahkamah dan akan diinfaqkan ke badan kebajikan pilihan plaintif.

Turut dimohon ialah faedah sebanyak lima peratus ke atas jumlah ganti rugi yang diputuskan sehingga penyelesaian penuh, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya