Dakwaan Jho Low masak pasta untuk keluarga Zeti, tidak masuk akal dan melampau - Utusan Malaysia

Dakwaan Jho Low masak pasta untuk keluarga Zeti, tidak masuk akal dan melampau

ZETI Akhtar Aziz hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menyambung bicara kes 1MDB semalam. -UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Tidak masuk akal dan melampau!”

Itu jawapan tegas Tan Sri Zeti Akhtar Aziz apabila dicadangkan bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low sering ke rumahnya di Bukit Tunku pada hujung minggu dan masak pasta untuk keluarga bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM).

Wanita itu juga menegaskan bahawa beliau tidak pernah menerima sebarang hadiah mahal daripada Jho Low atau sesiapa sahaja pada bila-bila masa sepanjang berkhidmat dengan BNM.

Selain itu, Zeti memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak mengetahui Jho Low sering memberikan alasan hendak berjumpanya setiap kali ada pertemuan dengan Datuk Seri Najib Razak di rumah bekas Perdana Menteri itu.

Muhammad Shafee: Saya cadangkan kepada awak, setiap kali pertemuan dengan Perdana Menteri (Najib) di rumahnya, Jho Low selalu beri alasan untuk meninggalkan pertemuan tersebut kerana perlu berjumpa awak.
Zeti: Saya tidak tahu mengenai perkara ini.

Muhammad Shafee: Perdana Menteri tak beritahu awak mengenai perkara ini?
Zeti: Tidak.

Muhammad Shafee: Saya cadangkan awak pernah beritahu PM (Najib) Jho Low suka hadiahkan awak hadiah mewah tetapi awak pulangkan kesemuanya.
Zeti: Tidak.

Muhammad Shafee: Awak tidak pernah beritahu Najib mengenai perkara ini?
Zeti: Tidak. Seingatnya, saya tidak pernah membincangkan apa-apa mengenai hadiah atau Jho Low dengan Najib.

Bagaimanapun, Zeti mengambil maklum bahawa terdapat kemungkinan Jho Low menggunakan nama alumni Wharton School; fakulti perniagaan tertua di dunia, untuk mendekati suaminya, Datuk Dr. Tawfiq Ayman yang pernah menuntut di fakulti sama sekitar 1970an.

Muhammad Shafee membuat cadangan tersebut selepas merujuk wanita berkurung biru gelap itu dengan keterangan bekas Pengerusi Goldman Sachs bagi Asia Tenggara, Tim Leissner pada prosiding perbicaraan terhadap bekas pegawai bawahannya, Roger Ng di Mahkamah Tinggi Brooklyn di New York yang mendedahkan Tawfiq menerima rasuah berhubung projek usaha sama PetroSaudi – 1MDB.

Ng adalah bekas Ketua Pelaburan Goldman Sachs di Malaysia.

Menurut transkrip perbicaraan mahkamah, Leissner memberitahu beliau mendengar melalui Ng bahawa 1MDB melabur AS$1 bilion dalam projek usaha sama itu dan dana tersebut dilaburkan dalam masa singkat kerana kerana suami gabenor BNM ketika itu menerima rasuah untuk melaksanakannya.

Bagaimanapun pada prosiding hari ini, Zeti menafikan mengenali Leissner dan Ng.

Terdahulu, Zeti memberitahu, kelulusan untuk memindahkan dana dari Malaysia ke luar negara dalam masa sehari bukanlah suatu perkara yang tidak pernah berlaku.

Dana tersebut merujuk kepada pemindahan AS$1 bilion dana 1MDB yang pada asalnya bertujuan untuk mendapatkan 40 peratus saham dalam syarikat usahasama 1MDB dan Petrosaudi tetapi dana tersebut kemudiannya dipindahkan ke syarikat Good Star Limited yang dimiliki oleh Jho Low.

Ujarnya, sekiranya segala dokumen yang diperlukan telah dipenuhi dan lengkap, tidak menjadi masalah untuk memberikan kelulusan cepat.

“Ini merupakan kelulusan untuk pemindahan dana dan bukannya penilaian pelaburan. Sekiranya semua dokumen lengkap, kelulusan boleh diberikan dalam masa sehari.

“Terdapat enam lagi keadaan yang mana kelulusan pemindahan dana ke luar negara diberikan dalam masa sehari kerana segala dokumen dalam keadaan teratur,”kata Zeti.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya