Daiyan dedah sebab CGI Sumpahan Jerunei ‘cacat’ - Utusan Malaysia

Daiyan dedah sebab CGI Sumpahan Jerunei ‘cacat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Daiyan Trisha mendedahkan, penampilan kesan khas yang kurang memuaskan di filem Sumpahan Jerunei adalah disebabkan oleh sikap tidak profesional seorang individu yang mengundurkan diri di saat akhir.

Tanpa mendedahkan nama, dakwa Daiyan, individu yang dikatakan banyak terlibat dengan projek filem antarabangsa itu diberi tanggungjawab untuk mengarah kesan khas (CGI) filem Sumpahan Jerunei.

Namun begitu, dia gagal melunaskan kerja yang diamanahkan walaupun bayaran telah dibuat oleh pihak produksi.

“Semasa berjumpa dengan individu dari Hollywood tersebut, dia beritahu pernah terlibat dengan filem antarabangsa seperti Marvel, Spiderman dan Harry Potter. Semestinya kami teruja untuk turut serta dalam projek ini.

“Semasa post-production, individu itu yang juga pengarah kesan khas tiba-tiba meminta nama pengarah (Jason Chong) untuk dibuang daripada filem ini dan digantikan dengan namanya.

“Ia tindakan yang jahat, mengapa dia lakukan itu? Penerbit pun menolak permintaannya membuatkan dia terbang ke Amerika Syarikat tanpa menyiapkan kerja,” dakwa Daiyan menerusi sebuah video di akaun TikToknya baru-baru ini.

Tambah Daiyan, sikap pentingkan diri individu tersebut telah mengganggu proses penyuntingan di samping pihak produksi terpaksa mencari cara lain untuk melunaskan CGI dan VFX yang sudah dilaksanakan separuh jalan.

“Penerbit kami terpaksa berhadapan masalah kesan khas yang separuh jalan sedangkan dia sudah berikan sepenuh tenaga dan wang ringgit untuk projek ini.

“Sebagai pelakon saya akui memang ada kelemahan dari aspek CGI, namun kami ada alasan yang sangat kukuh.

“Tak banyak filem yang angkat sejarah mistik menyentuh tentang adat orang Melanau,” tambahnya.

Daiyan atau nama penuhnya Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin turut berterima kasih kepada semua yang telah menonton filem lakonannya itu di panggung.

Sebelum ini, filem yang menceritakan tentang sejarah silam kaum Melanau membabitkan adat pengebumian golongan bangsawan itu berjaya memenangi enam trofi di Florence Film Awards, Itali dan Paris Film Awards.

Turut sama menjayakan Sumpahan Jerunei ialah barisan pelakon hebat seperti Bront Palarae, Uqasha Senrose, Amerul Affendi, Syafie Naswip, Tony Eusoff, Ruminah Sidek dan Yuyun Hikmah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya