PETALING JAYA: Pendakwah selebriti, Da’i Syed akan mengambil tindakan undang-undang terhadap dua wanita yang menyebarkan fitnah terhadap dirinya.
Syed atau nama sebenarnya, Syed Shah Iqmal Syed Mohamad Shaiful berkata, dia tidak boleh berdiam diri apabila dakwaan yang dimuat naik individu berkenaan di aplikasi TikTok dikaitkan dengan keguguran kandungan isterinya, Nurul Hana Ismail.
“Apabila kenyataan awal (berkaitan dakwaan rogol) itu diterbitkan semula dan dikaitkan dengan keguguran kandungan isteri saya, saya tidak boleh berdiam diri lagi kerana ini adalah sesuatu yang amat melampaui batas.
“Hal ini merupakan suatu fitnah terhadap saya. Dia (individu berkenaan) juga dilihat seolah-olah cuba mengambil kesempatan di atas kesedihan yang dialami oleh saya dan isteri.
“Hal ini merupakan satu kenyataan salah yang sengaja diada-adakan. Sehubungan dengan itu, saya telah mengarahkan peguam saya untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap wanita terbabit dalam kadar yang segera,” katanya.
Syed ditemui dalam satu sidang akhbar yang turut dihadiri isterinya, keluarga dan peguam, Syed Amirul Syed Edros di sini hari ini.
Terdahulu, wanita yang mendakwa sebagai mangsa perkosa kepada pendakwah tersebut mengaitkan kehilangan anak dalam kandungan isteri pendakwah tersebut adalah kifarah atas perbuatan terkutuknya.
Da’i Syed pada 10 Disember 2020 berdepan tuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap wanita berusia 22 tahun (ketika itu) dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud untuk mencabul kehormatan.
Bagaimanapun, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepas dan membebaskan Syed daripada pertuduhan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pendakwah selebriti itu pada akhir kes pendakwaan.
Sementara itu, Syed juga akan memulakan tindakan undang-undang terhadap seorang lagi wanita disebabkan fitnah yang telah diterbitkannya pada 23 November 2021.
“Sebelum ini, pada 26 November 2021, individu itu telah membuat satu laporan polis yang menyatakan bahawa dia mengakui bertanggungjawab sebagai individu yang memuat naik hantaran tersebut dan memohon maaf kerana telah memfitnah saya.
“Tetapi laporan polis yang dibuat olehnya sebelum ini tidak dapat menidakkan tindakannya yang telah memfitnah saya malahan di dalam laporan yang sama, dia sendiri mengakui bertanggungjawab terhadap fitnah tersebut,” katanya.
Sementara itu Syed juga tidak akan teragak-agak untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang telah memfitnah dia dan mengaitkan juga isteri serta keluarga.
“Saya memohon agar orang awam yang tidak terkait dengan kes dan tidak mengetahui fakta kes yang sebenar, dapat berlaku adil dalam memberikan sebarang komentar.
“Jangan tidak tersalah langkah sehingga membuat tohmahan yang melampaui batas terhadap diri saya. Saya tidak akan teragak-agak untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang telah memfitnah saya.
“Saya berharap orang awam akan menerima penjelasan saya berhubung isu ini dengan hati yang terbuka,” katanya. – UTUSAN