PUTRAJAYA: Pelakon dan penyanyi, Dafi tidak berhasrat mengikut jejak langkah bapanya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk masuk ke dalam bidang politik.
Bagi Dafi atau nama penuhnya Gadaffi Ismail Sabri, 34, bukan mudah menjadi ahli politik kerana memerlukan ketahanan mental dan rasa tanggungjawab untuk menjaga kebajikan orang ramai.
“Bapa saya ada mengharapkan anak-anaknya terjun ke dalam bidang politik. Buat masa ini saya belum lagi.
“Pandangan saya terhadap politik berbeza kerana saya melihatnya dari dalam (keluarga).
“Saya tidak kuat untuk bertanggungjawab dengan kehidupan banyak orang. Namun mujurlah adik saya sudah ada yang berjinak-jinak ke arah itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Bergelar anak kepada seorang bekas Perdana Menteri tidak mudah, kerana Dafi mendedahkan sering dituduh menerima projek dan tawaran disebabkan pengaruh bapanya dan bukannya atas usaha sendiri.
“Saya mula berkecimpung dalam industri sejak tahun 2017. Waktu itu ayah saya pun sudah menjadi menteri. Berbelas tahun saya terima cakap-cakap begitu, dulu saya rengsek sekarang sudah lali.
“Lagi pula ia bukanlah sesuatu yang tidak elok. Ayah saya (menjadi ahli politik) kerana usahanya. Mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi.
“Itu rezeki dia dan saya pun dapat merasa rezeki itu,” tambahnya lagi.
Baru-baru, ada pihak yang menuduh kononnya bapanya antara individu yang menyumbang dana bagi pembikinan filem berkenaan sekali gus membuatkan dia terpilih membintangi filem termahal negara dengan kos berjumlah RM20 juta.
“Oh, tidak. Bapa saya tidak memberi dana untuk filem ini. Biarlah saya sendiri tahu kenapa saya dapat watak ini.
“Sebab sebelum ini saya pernah kerja dengan Adrian, dan mungkin dia lihat ada keserasian antara kami,” tambahnya.
Malbatt: Misi Bakara menceritakan sebuah kisah benar yang dihadapi Batalion Malaysia (Malbatt) apabila menjadi satu-satunya negara yang berani menawarkan diri dalam usaha menyelamatkan tentera Amerika Syarikat di Somalia apabila helikopter Black Hawk milik mereka ditembak jatuh pada tahun 1993.
Filem ini djangka menemui penonton bermula 24 Ogos ini.
Antara bintang yang turut sama terlibat menjayakan Malbatt: Misi Bakara ialah Hairul Azreen, Bront Palarae, Tony Eusoff, Shaheizy Sam, Taufiq Hanafi, Theebaan G dan Dini Schatzmann.