ALOR SETAR: Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kedah/Perlis beranggapan kemerosotan kedatangan pelancong ke Langkawi ketika ini berkemungkinan disebabkan pulau itu bukan lagi sepenuhnya berstatus pulau bebas cukai.
Pengerusinya, Eugene Dass berkata, pelaksanaan cukai ke atas rokok dan produk tembakau sejak 2021 menjadi antara faktor Langkawi semakin hilang tarikan.
“Polisi itu yang menjadikan Langkawi bukan lagi pulau bebas cukai dan tidak mesra pelancong. Status ini penting sebab dari dahulu Langkawi terkenal dengan pulau bebas cukai tetapi sekarang imej itu semakin hilang.
“Perkara itu tentu menjadi salah satu daripada penyebabnya kerana orang nak datang ke Langkawi pun fikir dua kali,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Beliau mengulas kemerosotan pelancong ke Langkawi sejak kebelakangan ini terutama selepas Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA’23) sehingga mencetuskan kekhuatiran dalam kalangan penggiat industri pelancongan di pulau tersebut.
Kata beliau, Pulau Langkawi yang menjadi tarikan sehingga di peringkat antarabangsa sebelum ini perlu dianjurkan program berimpak tinggi setiap bulan untuk memulihkan semula ekonomi penduduk di situ selain mengekalkan status pusat pelancongan negara.
Eugene berkata, pihaknya berharap dasar berkenaan disemak semula bagi tempoh jangka panjang demi kelangsungan sektor pelancongan di pulau berkenaan.
“Perkara itu perlu dilihat semula kerana ketika ini bukan penggiat pelancongan seperti pengusaha hotel yang menderita tetapi penduduk Langkawi yang bergantung kepada industri ini termasuk peniaga makanan dan pengusaha kereta sewa, semua akan derita.
“Saya percaya jika perkara ini tidak dinilai semula Langkawi akan hilang daripada radar pelancongan. Pelancong akan membuat pilihan apa yang ada di Langkawi tetapi ada di tempat lain,” katanya.
Katanya, keadaan itu bertambah buruk dengan masalah perkhidmatan feri Langkawi yang semakin berkurangan trip perjalanannya. – UTUSAN