SHAH ALAM: Tiada cubaan pengosongan kerusi parlimen cuba dilakukan oleh wakil-wakil Barisan Nasional (BN) di dalam Dewan Rakyat, sebaliknya perkara itu didakwa hanya ‘khabar angin’.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahi Hamidi berkata, ahli-ahli parlimen perlu ingat kedudukan mereka sebagai wakil rakyat ditentukan melalui mandar pengundi dan watikah daripada parti yang diwakili ketika bertanding pilihan raya.
“Jika ada Ahli Parlimen dari BN berhasrat untuk mengosongkan kerusi mereka, tindakan tersebut wajar dilakukan apabila penggal berakhir. (Dakwaan) itu hanya khabar angin dan kita akan lihat, paling penting tunggu sehingga akhir penggal.
“Kalau mahu lakukan tindakan politik, sebaliknya kita harus melihat mandat dan wakah itu diberikan kepada mereka untuk mewakili parti dan bukan untuk diri sendiri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penutup Madani Ride Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Ipoh Super Biker’s Club (ISBC) sempena Hari Peringatan Polis Ke-216 dan Bulan Kemerdekaan 2023, semalam.
Semalam, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dalam satu video mendakwa terdapat desas-desus tujuh ahli parlimen BN akan mengosongkan kerusi itu.
Daripada jumlah itu, empat ialah di Johor dan tiga di Sabah, Pahang dan salah satu negeri di utara tanah air.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, perkara tersebut (pengosongan kerusi) tidak timbul kerana sudah pun ditandatangani oleh ahli parlimen BN dalam aku janji yang dimeterai di hadapannya.
“Kalau mahu ambil tindakan pada hemat mereka untuk kepentingan diri sendiri, saya fikir eloklah mereka tunggu akhir penggal,” ujarnya..
Sementara itu, mengulas mengenai kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Pahang, Ahmad Zahid berkata perkara tersebut dibincangkan bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Menurutnya, calon yang akan mewakili BN bagi DUN berkenaan akan diperincikan selepas senarai nama diperolehi.
“Saya adakan perbincangan dengan Wan Rosdy dan kita meneliti bukan hanya keputusan dalam PRU (Pilihan Raya Umum) lalu, tetapi kita merasakan pembangunan DUN Pelangai harus diberi kesinambungan dan diteruskan,” katanya.
Kerusi DUN Pelangai semalam diisytiharkan kosong susulan penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun terlibat dalam nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N36 Pelangai, Pahang akan diadakan pada Khamis minggu ini. – UTUSAN