Cikgu Non cadang inisiatif jualan prihatin, tumpu pembangunan pendidikan - Utusan Malaysia

Cikgu Non cadang inisiatif jualan prihatin, tumpu pembangunan pendidikan

ZAINOL Abidin Mohamad (kanan) bersama jentera parti di Fatimah MZ Agrofarm, Changlun, Kedah hari ini.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kayu Hitam, Zainol Abidin Mohamad,65, mencadangkan inisiatif jualan prihatin melibatkan barangan asas pada harga berpatutan di kawasan itu.

Inisiatif itu sekiranya beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Non menang di kawasan berkenaan bakal membabitkan pakej barangan keperluan asas pada harga serendah RM10 bagi membantu meringankan beban rakyat.

Menurut Cikgu Non, langkah berkenaan bagi membantu masyarakat di kawasan berkenaan khususnya di Felda Bukit Tangga, Falda Laka Selatan, Felda Guar Napai dan Felda Batu 8.

“Saya akan cuba laksanakan inisiatif ini dalam masa terdekat yang merupakan hasil cetusan daripada pelaksanaan Jualan Rahmah,” katanya ketika ditemui di Fatimah MZ Agrofarm, Changlun di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini, Zainol bakal mencabar penyandang kerusi DUN Bukit Kayu Hitam, Datuk Halimaton Shaadiah Saad yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, beliau juga akan meneruskan khidmat memperkasakan pendidikan dan pembangunan modal insan masyarakat di kawasan itu.

Beliau turut akan meneruskan pelaksanakan kelas-kelas pembelajaran secara dalam talian buat pelajar.

“Saya sebelum ini juga aktif menganjurkan seminar pendidikan buat para pelajar dalam membantu meningkatkan kecemerlangan mereka.

“Sebagai seorang bekas guru, saya pastinya ingin memberi fokus kepada pendidikan buat anak muda bagi membolehkan mereka membantu keluarga masing-masing selepas ini,” katanya.

Selain itu, beliau juga akan mengadakan sesi dialog bersama golongan muda selepas ini bagi menerangkan tentang peranan dan tanggungjawab mereka dalam PRN.

“Anak muda perlu diberi penerangan tentang limpahan pembangunan yang dapat dilaksanakan di Bukit Kayu Hitam sekiranya kerajaan negeri dan pusat adalah seiring,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN