'Cikgu Lam, calon anak kampung mahu berkhidmat di Bukit Tunggal'

‘Cikgu Lam, calon anak kampung mahu berkhidmat di Bukit Tunggal’

WAN Noorislam Wan Hashim (dua dari kiri) menyantuni seorang warga emas ketika berkempen dari rumah ke rumah di Bukit Tunggal, Kuala Nerus, Terengganu, baru-baru ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, Wan Noorislam Wan Hashim berjanji membawa beberapa perubahan signifikan di kawasan tersebut sekiranya diberi peluang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Beliau bukanlah orang baharu dalam politik, sebaliknya Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kuala Nerus itu sudah lama berbakti kepada penduduk Bukit Tunggal sejak usianya masih remaja melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Mesra dengan panggilan Cikgu Lam, fokusnya adalah menyeluruh untuk mengubah wajah Bukit Tunggal yang agak suram meskipun terletak berhampiran pusat bandar raya Kuala Terengganu.

“Pertama sekali, cikgu akan memperkasa industri pelancongan di Pulau Duyong terutama dalam sukan air dan sejarah keilmuan Islam yang berkait rapat dengan ulama terkenal iaitu Tok Sheikh Duyong.

“Kita akan wujudkan banyak pusat pelancongan berasaskan sejarah Islam, jeti transit ke pulau-pulau peranginan dengan pakej ‘day trip’ dan memancing yang melibatkan komuniti tempatan di sekitar kawasan ini.

“Sukan air seperti perahu layar akan dikembalikan kegemilangannya dan secara tidak langsung dapat mencungkil bakat sukan baharu dalam kalangan anak muda Terengganu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini, baru-baru ini.

Selain itu, fokus utamanya adalah untuk memartabatkan lagi industri pembuatan bot nelayan tradisional yang akan menjadi nadi ekonomi untuk perkampungan nelayan kawasan pesisir Sungai Terengganu.

“Kita ada tenaga pakar yang masih aktif dalam bidang ini dan boleh mengajar anak-anak muda yang berminat dengan skim mentor-mentee untuk kita wujudkan sekiranya berjaya menang di DUN Bukit Tunggal pada Sabtu ini.

“Ada kerjasama khusus boleh dibuat dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia serta pelbagai jabatan dan agensi kerajaan yang lain,” katanya yang serius mahu membangunkan industri itu menjadi tarikan pelancongan terkenal di Bukit Tunggal selepas ini.

Beberapa kemudahan asas seperti masjid dan hentian rawat dan rehat juga akan dibina di sekitar Jalan Semarak memandangkan ia menjadi laluan utama dalam kalangan penduduk Terengganu ketika ini.

Tambahnya, pusat ekonomi di Batu Enam akan distruktur semula dengan mewujudkan sistem perkedaian lebih teratur untuk jualan emas dan makanan tradisional di kawasan itu agar peniaga serta pelanggan dapat menjalankan urus niaga dengan lebih selesa.

“Penting juga untuk kita membina satu laluan ‘bypass’ bagi menghubungkan kawasan Pak Katak dan Tok Jiring untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas yang agak kritikal di bulatan Batu Enam ketika ini.

“Insya-Allah, kita juga akan mewujudkan pusat pengajian al Quran yang komprehensif dan menawarkan lebih banyak kemudahan pendidikan terutama untuk golongan B40,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya