PETALING JAYA: Trend permohonan melanjutkan pelajaran dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di 22 Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) pada tahun lepas mencatatkan penurunan ketara berbanding sambutan pada 2019.
Seramai 15,048 permohonan diterima di semua ILKBS pada 2019; 16,989 pada 2020; 7,496 pada 2021 dan 9,833 pada 2022 serta 6,361 setakat sesi satu tahun ini.
Menurut Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, jumlah permohonan sejak lima tahun lepas menunjukkan peningkatan dan penurunan setiap tahun.
Bagaimanapun, jelasnya, trend permohonan yang menurun itu bukanlah hanya melibatkan ILKBS, ia turut terkesan kepada Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) yang lain.
“Kadar penurunan berlaku berikutan keinginan belia untuk menceburi bidang ekonomi gig bagi menambah pendapatan keluarga yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19 yang melanda negara.
“Tahun 2022 mencatatkan peningkatan permohonan kemasukan ke ILKBS. Ia mungkin berikutan galakan kerajaan untuk memperkasa bidang TVET di samping perubahan dasar-dasar baharu dalam kemahiran TVET.
“Statistik pada 2023, bagi sesi satu sahaja seramai 6,361 orang membuat permohonan dan dijangka pertambahan seramai 5,000 pemohon membuat permohonan kemasukan ke ILKBS bagi sesi dua tahun ini,” katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia.
ILKBS yang ditubuhkan pada 1964 adalah salah satu daripada ILKA yang dikawal selia sepenuhnya di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
ILKBS terlibat secara aktif dalam pelaksanaan program berasaskan TVET merangkumi 22 institut di bawahnya meliputi Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Akademi Kemahiran Belia Golf (AKBG).
ILKBS menawarkan 14 bidang utama melibatkan 115 program atau kursus sepenuh masa dan lebih kurang 200 kursus jangka pendek untuk golongan belia berumur 18 sehingga 30 tahun.
Mengulas lanjut, Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia berkata, terdapat peningkatan bagi trend pengambilan pelajar ILKBS bagi tempoh lima tahun sebelum ini pada setiap tahun, kecuali pada 2020.
“Pengambilan pelajar pada 2018 dan 2019 adalah 6,150 pelajar berbanding 7,299 unjuran dan 5,039 berbanding 6,032 unjuran iaitu bersamaan 84 peratus bagi kedua-dua tahun tersebut.
Katanya, ia disebabkan oleh penularan wabak pandemik Covid-19 yang melanda negara sehingga ramai keluarga calon pelajar telah terkesan dengan situasi pandemik dan mereka lebih memilih untuk mendapatkan pekerjaan bagi menampung dan membantu perbelanjaan keluarga.
“Pengambilan pelajar pada 2018 dan 2019 adalah seramai seramai 6,150 orang pelajar berbanding 7,299 unjuran dan 5,039 berbanding 6,032 unjuran iaitu bersamaan 84 peratus bagi kedua-dua tahun tersebut.
“Bagaimanapun terdapat sedikit penurunan terhadap peratusan pelajar mendaftar pada tahun 2020 iaitu sebanyak 80 peratus atau 4,643 orang pelajar berbanding 5,802 unjuran berikutan penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana menyumbang kepada penutupan dan penangguhan pengajian di semua institusi pengajian di Malaysia.
“Pada 2021 pula, terdapat peningkatan peratusan pelajar mendaftar di ILKBS iaitu seramai 2,732 orang pelajar (86 peratus) telah mendaftar berbanding 3,194 unjuran pada tahun tersebut, manakala pada 2022, peratus pelajar mendaftar terus meningkat sehingga 92 peratus iaitu seramai 3,289 orang pelajar mendaftar berbanding 3,484 unjuran pada tahun tersebut,” katanya. – UTUSAN