KANGAR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu bermuhasabah serta memperhalusi kelemahan dan punca kekalahan teruk parti itu secara keseluruhan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri, semalam.
Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, berdasarkan analisa keputusan undi popular pada PRN berkenaan, BN hanya memperolehi 900,000 undi iaitu sangat jauh ketinggalan berbanding Pakatan Harapan (PH), 2.4 juta undi dan Perikatan Nasional (PN) sebanyak 3.3 juta undi.
Katanya, jumlah tersebut selepas dicampur semua undi dan sehingga ke tahap ini sekali pun, UMNO masih berdepan dengan defisit kepercayaan dalam kalangan pengundi.
“Jangan cuba sumbunyi keadaan yang berlaku dan apa sebabnya (berlaku keadaan ini), cari lah dengan hati yang ikhlas punca kekalahan dan kelemahan ini,” katanya ketika ditemui selepas Program Santai Bersama Pasukan Liga Super Perlis 2023 dari Parlimen Kangar di sini hari ini.
Keputusan PRN di enam negeri semalam menyaksikan BN merekodkan kekalahan terburuk dalam sejarah parti itu apabila hanya memenangi 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 108 kerusi ditandingi.
UMNO kalah di semua kerusi di Kedah dan Terengganu dengan hanya menang satu kerusi di Kelantan, dua di Selangor, 14 di Negeri Sembilan dan dua di Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Fathul Bari berkata, beliau secara peribadi tidak menunding jari atas prestasi buruk BN pada PRN kali ini, bagaimanapun setiap pihak perlu muhasabah dengan kekalahan teruk itu.
“Kita semua perlu muhasabah dan fikirkan apakah strategi yang ampuh untuk kembali relevan selepas ini.
“Akar umbi tidak mahukan hal sama berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti sehingga menyebabkan UMNO sendiri terkubur,” katanya.
Tambahnya, setiap pimpinan tidak boleh berada dalam sindrom penafian dan perlu menerima hakikat bahawa ahli parti itu sendiri tidak memilih UMNO pada PRN kali ini.
“Kelemahan ini perlu kita perhalusi dan mencari langkah sebaiknya untuk ditangani demi kebaikan UMNO pada masa hadapan,” katanya.-UTUSAN