Cara mengatasi cabaran membeli rumah - Utusan Malaysia

Cara mengatasi cabaran membeli rumah

BAKAL pembeli rumah perlu menitikberatkan pelbagai aspek sebelum membuat keputusan besar itu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP individu mempunyai impian untuk memiliki kediaman masing-masing, namun kekangan dari segi kewangan serta ketidaktentuan ekonomi sedikit sebanyak memberi cabaran untuk memiliki rumah idaman masing-masing.

Namun itu bukanlah halang kerana jika anda merancang kewangan dengan teliti dari segi perbelanjaan bulanan ia mungkin dapat direalisasikan.

Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam), Datuk Nazri Mustafa berkata, membeli kediaman di Malaysia boleh menjadi cabaran yang besar, terutamanya disebabkan faktor seperti peningkatan kadar faedah, kos yang tinggi, dan kesukaran memenuhi syarat deposit.

Oleh itu, beliau sudi berkongsi 10 tips yang mungkin dapat membantu anda mengatasi kesukaran tersebut.

Merancang dengan teliti
Perancangan kewangan yang teliti amat diperlukan sebelum ada membeli rumah. Nilai seberapa banyak wang yang anda mampu bayar setiap bulan untuk pembayaran ansuran selain anggaran kos tambahan seperti yuran perkhidmatan, cukai, dan penyelenggaraan.

Simpan deposit secara sistematik
Memenuhi syarat deposit biasanya menjadi batu loncatan utama. Mulakan untuk menyimpan wang deposit secara sistematik dalam akaun khas. Ini akan membantu anda memenuhi syarat yang diperlukan apabila tiba masanya.

Cari pilihan pembiayaan alternatif
Umum mengetahui bahawa setiap kali ingin membuat pinjaman perumahan semuanya akan tertumpu kepada bank sahaja tanpa mengetahui bahawa pelbagai institusi kewangan lain yang menawarkan pembiayaan rumah. Namun begitu selidikilah terlebih dahulu pilihan anda dan dan bandingkan kadar faedah serta syarat-syarat yang ditawarkan setiap institusi kewangan.

Pertimbangkan program subsidi
Pihak kerajaan Malaysia seringkali menawarkan program subsidi bagi pembeli rumah pertama. Semak dengan pihak berkuasa tempatan atau Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk maklumat lanjut mengenai program ini. Rugi jika anda tidak memanfaatkan bantuan yang diberikan dalam memudahkan anda memiliki kediaman sendiri.

Cari Rumah dalam jangkauan kewangan
Berikan tumpuan kepada hartanah yang berada dalam jangkauan kewangan anda. Bak kata pepatah, ‘ukur baju di badan sendiri’ beli rumah yang anda mampu bayar tanpa menyesal di kemudian hari. Anda juga mungkin perlu mengorbankan beberapa keinginan untuk sementara waktu demi memiliki rumah yang lebih terjamin.

Pertimbangkan rumah teres atau pangsapuri (apartment)
Rumah teres dan apartment cenderung lebih terjangkau berbanding rumah berkembar atau banglo. Pertimbangkan untuk memilih jenis hartanah yang lebih sesuai dengan kewangan anda.

Pantau pasaran hartanah
Apabila hendak membeli kediaman anda perlu rajin memantau pergerakan pasaran hartanah. Banyak kaedah anda boleh pelajari jika tidak tahu. Kenapa penting memantau pasaran hartanah adalah kerana kadang-kala, terdapat peluang untuk mendapatkan harga yang lebih baik apabila pasaran menurun.

Buat rundingan yang baik
Jangan ragu untuk merundingkan harga dengan penjual kerana jika anda malu kemungkinan anda akan rugi kerana anda mungkin bertuah mendapatkan harga yang lebih baik atau insentif tambahan jika cuba berunding secara berhemah.

Kaji semula pilihan pembiayaan
Jika kadar faedah semakin meningkat, pertimbangkan untuk mengkaji semula pilihan pembiayaan anda. Penstrukturan semula (refinance) pembayaran bulanan mungkin menjadi pilihan apabila kadar faedah stabil atau menurun.

Bertanya kepada pakar kewangan
Jika kesukaran masih berlarutan, pertimbangkan untuk mendapatkan nasihat daripada pakar kewangan atau kaunselor kewangan yang boleh membantu anda merancang strategi kewangan yang lebih baik. Ini kerana membeli kediaman bukan seperti membeli pakaian, ia memerlukan pengetahuan dan ketelitian.

Membeli rumah merupakan keputusan besar yang memerlukan perancangan dan pertimbangan yang matang, justeru itu dengan merangka langkah-langkah yang sesuai, anda boleh mengatasi cabaran yang dihadapi dan mewujudkan impian untuk memiliki rumah sendiri.

Semoga perkongsian Ringgit kali ini dapat memberi manfaat kepada anda dalam membeli kediaman idaman mengikut kemampuan anda meskipun berhadapan dengan cabaran ketidaktentuan ekonomi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya