Caprice mohon maaf kepada SM Faisal

Caprice mohon maaf kepada SM Faisal

CAPRICE dan Mondy Tattoo diarah memadamkan semua video berkaitan Ebit Lew di platform media sosial mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kes saman antara Datuk S.M. Faisal Nasimuddin terhadap Caprice selesai selepas penyanyi itu memohon maaf kepada ahli perniagaan terbabit.

Permohonan maaf tersebut dibuat di dalam kamar hakim di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azian Othman di sini hari ini.

Permohonan maaf itu dibuat berhubung kes saman oleh S.M Faisal terhadap penyanyi berkenaan yang didakwa membuat pernyataan berbaur fitnah berhubung perintah pemenjaraan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini, terhadap bekas isterinya, Emelia Hanafi selepas gagal mematuhi perintah mahkamah.

Ketika ditemui selepas tamat prosiding, S.M. Faisal memberitahu beliau gembira kes saman itu diselesaikan dengan cara baik.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili S.M. Faisal memberitahu, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli telah meminta maaf secara bersemuka.

“Defendan (Caprice) juga perlu memuat naik permohonan maaf di Instagram miliknya dalam tempoh 48 jam,” kata peguam itu.

Caprice ketika ditemui turut memaklumkan beliau telah meminta maaf kepada S.M. Faisal.

“Permohonan maaf dah siap, akan dimuat naik sekejap lagi,”katanya yang diwakili peguam Harjoth Singh.

Sementara itu, semakan di bahagian komen Instagram penyanyi itu, capricedaddycap, pelantun lagu Koyak itu memberitahu pengikutnya bahawa beliau juga perlu membayar RM6,000 kepada S.M. Faisal.

Caprice juga melalui Insta Story memaklumkan akan memberikan sebuah kereta Kia Sportage miliknya kepada pengikut bertuahnya sempena penyelesaian kes saman itu.

Lain-lain terma penyelesaian tidak didedahkan.

Dalam saman yang difailkan pada 15 Ogos 2022, plaintif (S.M. Faisal) mendakwa insiden pelanggaran perintah mahkamah itu kemudian dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu dengan niat mala fide (niat jahat) tanpa sebarang rujukan atau klarifikasi daripada pihaknya termasuk defendan.

Kata plaintif, sehari selepas itu, defendan dengan niat sama turut mengherdik, mencemuh dan memburukkan plaintif atau Mahkamah Syariah dengan memuat naik video atau hantaran melalui Instagramnya pada 28 Jun 2022.

Jelas plaintif, tindakan defendan itu menyebabkan plaintif berasa tertekan dari segi emosi selain cemuhan dan gangguan daripada pihak-pihak yang ada kaitan atau menyokong kempen untuk menjatuhkan plaintif.

Dalam pada itu, plaintif turut mendakwa hubungannya dan keluarga serta fokus kerjayanya juga terkesan dan terganggu.

Pernyataan saman itu turut menyebut hantaran fitnah itu mengakibatkan plaintif mengalami keaiban, penghinaan, cemuhan, tohmahan, cacian, ejekan atau kebencian dalam kalangan masyarakat.

Justeru plaintif memohon suatu perintah injunksi mandatori terhadap defendan untuk mengeluarkan atau memadamkan hantaran fitnah tersebut yang diterbitkan, dimuat naik, disebarkan atau disiarkan yang mengandungi kenyataan-kenyataan fitnah terhadap plaintif.

Selain itu, plaintif turut menuntut suatu injunksi kekal menghalang defendan sama ada oleh dirinya sendiri, sekutunya, ejennya atau sesiapa sahaja daripada memuat naik, menyebarkan, menyiarkan,menerbitkan, mengedarkan atau menghebahkan dengan apa cara sekalipun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN