SEPANG: Berbaki setengah jam sebelum tempoh pengundian ditutup, calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Dengkil, Datuk Seri Jamil Salleh sudah melengkapkan tinjauan di 22 daripada 24 pusat mengundi di DUN ini.
Jamil berkata, beliau mula meninjau seawal pukul 8 pagi ke pusat-pusat pengundian di DUN N55 Dengkil bagi melihat sendiri proses pegundian.
Menurutnya, sepanjang lawatan semua proses berjalan lancar dan tidak berlaku apa-apa masalah walaupun hujan pada sebelah pagi.
“Masih ada berbaki dua daripada 24 pusat mengundi yang belum dilawati. Insya-Allah saya cuba untuk menghabiskan lawatan ke semua pusat mengundi,” katanya.
Katanya, beliau berharap lebih ramai pengundi menunaikan tanggungjawab bagi mencorakkan demokrasi di peringkat Selangor.
Jumlah pengundi yang layak memilih di DUN Dengkil adalah seramai 93,890 orang. – UTUSAN