KOTA BHARU: Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengambil pendekatan mengunci mulut berkait perubahan jawatan beliau sebagai Timbalan Menteri Besar sekiranya parti itu kekal mentadbir Kelantan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Calon Pas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor itu sebaliknya mahu fokus untuk menang dan mengekalkan pentadbiran di negeri ini.
“Saya tak ada komen… Itu perlu tanya Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Setiausaha Agung Pas).
“Nak tanya…saya nak jawab gapo (apa),” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Panchor di sini hari ini.
Media hari ini melaporkan, Kelantan dijangka mempunyai Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar baharu berikutan keputusan Pas mencadangkan gabungan agamawan dan teknokrat untuk dua jawatan itu jika menang PRN nanti.
Susulan itu, Menteri Besar ketika ini, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalannya Mohd. Amar dijangka tidak dilantik semula memegang jawatan berkenaan.
Ahmad yang merupakan penyadang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan sebelum ini memaklumkan PRN kali ini penggal terakhir buatnya. – UTUSAN