Calon Bersatu diterima baik penyokong Pas - Utusan Malaysia

Calon Bersatu diterima baik penyokong Pas

MUHYIDDIN berucap di hadapan penyokong PN pada Ceramah Grand Finale di Bukit Kuang, Kemaman, malam tadi. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Calon Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) yang bertanding di enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini, diterima baik penyokong Pas atas semangat kerjasama dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, meskipun terdapat sedikit pergeseran pada peringkat awal di beberapa DUN, namun perkara itu telah dapat diatasi secara harmoni. 

“Saya lihat sokongan Pas kepada Bersatu sangat baik dan saya dapat laporan, calon kita berpuas hati dengan pengundi Pas. 

“Jentera Pas juga memberi kerjasama yang baik dan mereka membantu kita turun ke akar umbi bertemu pengundi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri ceramah Grand Finale di Bukit Kuang, di sini, malam tadi. 

Muhyiddin berkata, meskipun sokongan pengundi terhadap PN terlalu ketara, namun semua pihak diingatkan supaya tidak terlalu selesa dan perlu berusaha serta bekerja keras sehingga ke hari pengundian. 

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menasihatkan pengundi terutamanya penyokong PN supaya menjalankan tanggungjawab dan keluar mengundi pada 12 Ogos ini. 

“Kita nak seramai mungkin pengundi keluar mengundi. Jangan ada yang kata tak payah undi, sebab dah tentunya  menang. Sifat itu tak baik. Kita nak  peratusan keluar mengundi lebih tinggi daripada pilihan raya sebelum ini. 

“Pengundi juga diingatkan supaya meneliti manifesto yang ditawarkan parti dan itu adalah janji yang akan kita laksanakan apabila diberi mandat,” katanya. 

Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, rakyat juga perlu membuat penilaian mengenai prestasi kerajaan sekarang dan perlu membuat keputusan yang tepat untuk mengundi. 

“Lihat apa yang kerajaan pusat dah buat. Di situ kita tengok ada kegagalan, kelemahan dan sebagainya. Jangan kita ulang lagi. Kalau kita terpilih yang lepas, ini masanya untuk kita betulkan balik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya