PONTIAN: Pepatah ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’ menjadi pegangan bekas juruteknik yang menceburi perniagaan menjual makanan tradisi Bugis, burasak dan lepat loi.
Mohammad Khazim Ahmad, 53, mempelajari membuat makanan tersebut daripada ibu mentua, ibu saudara dan bapa saudara sebelah isterinya walaupun sukar berdepan kesukaran pada awalnya.
Namun dengan dorongan isterinya, Besek Khalidah Kallemangadgi, 53, akhirnya dia mampu memasak burasak dan lepat loi dengan lauk-pauk untuk disajikan dengan makanan berkenaan.
Dia memilih nama ‘Burasak Bahtera Bugis’ untuk kedainya yang melambangkan kegigihan Bugis belayar mencari penghidupan baharu dari Indonesia ke Tanah Melayu suatu masa dulu.
“Alhamdulillah daripada kosong dan tidak tahu membuat dan memasak burasak dan lepat loi, kini telah menjadi sumber pendapatan utama keluarga sejak enam tahun lalu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Parit Abdul Rahman, Benut, dekat sini.
Mohammad Khazim berkata, burasak serta lepat loi disajikan dengan lauk seperti asam pedas ikan parang, rendang daging, ayam masak lengkuas atau nasu likku dalam bahasa Bugis dan serunding.
“Biasanya saya menyediakan dua ekor ikan parang sehari, dua hingga tiga kilogram daging untuk masak rendang, seekor atau tiga ekor ayam untuk masak lengkuas pada setiap hari,” katanya yang menggunakan beras basmathi untuk menghasilkan burasak.
Setiap hari dia dan isteri memasak tujuh bungkus burasak dan lepat loi bersamaan kira-kira 100 keping dengan mengambil masa 10 jam untuk menyediakan makanan tersebut.
Menurutnya, sebungkus burasak dan lepat loi dijual dengan harga RM14.
“Para pelanggan kami setakat ini bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan, malah ada yang datang dari Muar, Melaka, Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Kota Tinggi,” katanya.
Kedai Burasak Bahtera Bugis yang terletak berhadapan Masjid Jamek Kampung Sungai Besar, Benut, mampu menjana pendapatan sehingga RM10,000 sebulan dan memberi pendapatan bersih kira-kira RM3,000 sebulan kepada keluarganya. – UTUSAN