Bukan pengundi ‘hantu’, bas bawa polis bertugas sempena PRN Kedah

Bukan pengundi ‘hantu’, bas bawa polis bertugas sempena PRN Kedah

FISOL SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis Kedah menafikan dakwaan kononnya terdapat pengundi ‘hantu’ yang dibawa menggunakan bas ke negeri ini seperti ditularkan melalui sebuah klip video di media sosial termasuk TikTok dan Facebook, sejak pagi tadi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, bas-bas yang terpampang dalam klip video itu merupakan kenderaan yang membawa sebahagian daripada 7,160 pegawai dan anggota polis yang bertugas di Kedah sempena pilihan raya negeri (PRN) di negeri ini.

“Pagi tadi saya ada keluarkan kenyataan akhbar yang jelas menyebut terdapat 7,160 pegawai dan anggota polis bertugas di negeri ini sempena PRN dengan hampir 2,000 daripadanya datang dari luar Kedah antaranya Bukit Aman dan Perlis.

“Jadi kami telah menyewa sebanyak 34 buah bas yang mana 24 daripadanya dari luar Kedah dan 10 dari dalam negeri ini untuk menyelaras pergerakan kesemua anggota polis terlibat. Setelah kami lakukan semakan nombor pendaftaran, didapati bas yang terpampang dalam klip video berkenaan merupakan sebahagian daripada bas-bas yang kami sewa itu.

“Ketika rakaman itu dibuat, kesemua anggota yang menaiki bas sudah turun dan melaksanakan tugas masing-masing. Di sini saya beri jaminan bahawa apa yang dibangkitkan itu adalah tidak benar,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) di sini, hari ini.

Sejak pagi tadi tular klip video di media sosial memaparkan tindakan segelintir individu menahan tiga buah bas yang didakwa membawa pengundi ‘hantu’. Perakam video turut mengeluarkan kata-kata kesat sambil mendakwa perkara itu merupakan satu sejarah kerana tidak pernah ada bas yang muncul di kawasannya pada hari pengundian.

Mengulas lanjut Fisol berkata, kejadian itu dipercayai berlaku di Sungai Petani dengan kesemua pemandu bas tersebut adalah orang awam dan beliau turut membacakan sebahagian daripada nombor pendaftaran bas yang disewa dari negeri ini.

“Kami mengalu-alukan pihak yang merakam serta menularkan klip video tersebut untuk membuat laporan polis bagi membuktikan dakwaan kewujudan pengundi hantu yang dibawa bas berkenaan. Ini bagi memberi keadilan kepada individu terlibat mengenai dakwaan dibuatnya itu.

“Polis Kedah tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengatakan isu itu akan ditutup kerana siasatan akan dijalankan sekiranya terdapat laporan wujud pengundi hantu. Saya pun dah beritahu nombor bas berkenaan dan saya ingin ingatkan individu terbabit agar bertanggungjawab mengeluarkan isu yang telah menjadi kegusaran kepada orang ramai,” katanya.

Beliau dalam pada itu tidak menolak kemungkinan pihaknya akan turut memanggil individu terlibat bagi memberi keterangan berhubung dakwaan tersebut.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Fisol memaklumkan setakat pukul 3 petang tadi, polis menerima laporan daripada tiga individu yang mendakwa mereka tidak dapat mengundi kerana nama masing-masing telah digunakan oleh orang lain.

“Dua kejadian di Kulim dan satu di Sungai Petani. Selain itu, kami juga ambil maklum mengenai satu lagi kejadian yang tular di media sosial mengatakan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memangkah di tempat yang salah ketika membantu seorang warga emas mengundi.

“Petugas terbabit telah dinasihatkan membuat laporan polis setelah selesai tugasnya di pusat pengundian kerana individu berkenaan tidak boleh meninggalkan tugasnya selagi prosedur pengundian masih berlangsung. Selain itu, pasangan warga emas terlibat turut perlu membuat laporan polis kerana setakat ini dakwaan hanya dibuat di media sosial,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya