Bukan gugur, keahlian Shahelmey dalam UMNO kekal digantung - Utusan Malaysia

Bukan gugur, keahlian Shahelmey dalam UMNO kekal digantung

BUNG MOKTAR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sekali lagi mengesahkan keahlian Datuk Shahelmey Yahya di dalam UMNO kekal digantung selama enam tahun.

Kenyataan itu menjawab kekeliruan yang timbul berhubung status keahlian Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat.

“Masih kekal digantung,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Pada Ahad, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan keahlian Shahelmey digugurkan secara automatik namun, atas semangat dalam kerajaan perpaduan maka, tindakan hanya diambil secara dalaman.

Malah katanya, tiada keperluan mengeluarkan surat kerana keputusan mengenai status keahliannya di dalam UMNO dibuat secara dalaman.

Pada Mac lalu, Bung Moktar mengumumkan keputusan UMNO untuk menggantung keahlian Shahelmey selama enam tahun susulan tindakan Shahelmey bersama tiga ADUN UMNO lain membelakangkan keputusan parti dengan bertindak memberi sokongan kepada Datuk Seri Hajiji Noor.

Semasa kemelut politik pada Januari lalu, Shahelmey bersama Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit) dan Datuk Mohd. Arsad Bistari (Tempasuk) bertindak menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.

Keputusan beberapa pemimpin UMNO Sabah menarik sokongan daripada kerajaan membawa kepada rombakan Kabinet yang menyaksikan Bung Moktar digugurkan daripada Kabinet Negeri dan jawatan Timbalan Ketua Menteri yang dipegang digantikan oleh Shahelmey.

Namun, selepas pimpinan UMNO mengenakan tindakan disiplin terhadap empat ADUN tersebut, tiga daripada mereka iaitu James, Jasnih dan Mohd. Arsad mengumumkan keluar daripada UMNO bagi menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pada 21 Februari lalu. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya