BSKU masuk makmal di Florida Isnin ini esktrak rakaman suara kokpit

BSKU masuk makmal di Florida Isnin ini esktrak rakaman suara kokpit

Pasukan penyiasat dari Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NSTB), Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan pembuat pesawat Beechcraft turut terlibat dalam siasatan nahas pesawat di Elmina, Shah Alam, baru-baru ini. - UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) dijadual memasuki makmal di Florida, Isnin ini bagi membuka dan menganalisis komponen kotak perakam suara kokpit (CVR) milik jet eksekutif yang terhempas di Elmina, Shah Alam, minggu lalu. 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pasukan itu dijadual berlepas ke Amerika Syarikat (AS) pukul 7 petang ini bagi membawa CVR itu ke makmal pengilang peralatan asal (OEM) yang berada di Florida. 

Katanya, segala penerangan juga telah dibuat oleh OEM dan akan melaksana kerja-kerja analisis data pada hari tersebut, bagi mendapatkan rakaman suara 30 minit terakhir dalam ‘memory puck’ tersebut. 

“Oleh itu, kami berharap pada hari itu kerajaan boleh mendapatkan data di dalam CVR itu,” katanya kepada pemberita selepas hadir ke majlis perasmian pameran hartanah Perbadanan Aset Keretapi (RAC) 2023 dan majlis menandatangani perjanjian bagi pembinaan stesen kereta api Segambut 2, antara RAC dengan pemain industri hartanah, IDP Industrial Development Sdn. Bhd., di sini hari ini. 

Ditanya mengenai pandangan pakar penerbangan bahawa negara mungkin berpeluang tipis mengetahui punca tepat nahas pesawat tersebut, Siew Fook optimis dengan segala usaha dilakukan kerajaan sehingga sanggup berlepas ke Florida. 

“Ini pandangan masing-masing, tetapi, janganlah buat sebarang keputusan. Kita cubalah yang terbaik untuk pergi makmal dahulu dan mengeluarkan data tersebut. Harap semua pihak tidak membuat sebarang rumusan sebelum pihak kita sampai ke makmal di sana. 

“Kalau tanya sesiapa pun termasuk penganalisis, memang bermacam pandangan akan diberi. Tetapi, kerajaan juga ada tugas dan tanggungjawab iaitu mencari punca nahas. Apa sahaja yang kita boleh buat, kita akan buat. Sebab itu kita usaha ke sana secepat mungkin,” katanya.

Selasa lalu, Siew Fook memaklumkan yang kerajaan Malaysia akan menghantar CVR ke Florida, selepas makmal Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan di Singapura gagal mengesktrak rakaman suara di dalam ‘memory puck’ berkenaan.  

Kata Siew Fook, keputusan menghantar peranti berkenaan ke Florida kerana negara itu merupakan pembuat CVR dan kerajaan percaya mereka mampu menganalisis rakaman suara pada pesawat itu.

Beliau sebelum ini mengesahkan CVR itu hangus terbakar dan Kerajaan Malaysia membawanya ke Singapura dengan harapan dapat mengeluarkan data di dalamnya. 

Nahas yang berlaku pada Khamis minggu lalu itu antaranya mengorbankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun serta tujuh yang lain dalam pesawat serta seorang pemandu dan penunggang e-hailing yang sedang melalui lokasi kejadian. 

Pesawat itu berlepas dari Langkawi menuju Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang dan mendapat kebenaran untuk mendarat pada pukul 2.50 petang, namun terhempas dua minit sebelum mendarat.  – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya