Bot tersangkut di beting pasir, 40 PATI Indonesia ditahan - Utusan Malaysia

Bot tersangkut di beting pasir, 40 PATI Indonesia ditahan

BOT membawa pendatang asing tanpa izin warga Indonesia ditahan kira-kira 1.0 batu nautika dari Perairan Pantai Sungai Tiang, Rungkup, Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN/IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Cubaan 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyusup keluar dari negara ini dengan menaiki sebuah bot gagal, apabila ditahan pihak berkuasa kira-kira 1.0 batu nautika dari Perairan Pantai Sungai Tiang, Rungkup, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, bot berkenaan dikesan pada pukul 8 pagi selepas tersangkut pada beting pasir ekoran paras air laut surut.

“Pihak polis menerima maklumat orang awam mengenai kehadiran sebuah bot dalam keadaan mencurigakan dengan muatan dipercayai warga asing.

“Bertindak atas maklumat dan dibantu Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh, kita telah bergerak ke lokasi bot berkenaan sebelum menemui 30 lelaki dan 10 wanita berusia 22 hingga 47 tahun dipercayai warga Indonesia di atas bot,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan, bot yang membawa warga asing tanpa permit kerja yang sah itu dalam perjalanan menuju ke Tanjung Balai, Sumatera Utara, Indonesia.

“Siasatan lanjut mendapati bot itu dari Medan datang ke Rungkup untuk ambil kumpulan warga asing ini balik ke Indonesia.

“Bot dinaiki mereka bagaimanapun mengalami kerosakan serta tersangkut pada beting pasir semasa air surut sekitar pukul 7 pagi,” katanya.

Tambah beliau, kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa balik ke markas operasi PPM Kampung Acheh untuk tindakan lanjut.

“Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1958/63,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya