Bom palsu: Penghantar makanan dipenjara sehari, denda RM4,000 - Utusan Malaysia

Bom palsu: Penghantar makanan dipenjara sehari, denda RM4,000

MOHAMMAD Nasriq Samsudin didakwa membuat panggilan ugutan bom palsu ketika dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Padah kerana membuat panggilan ugutan bom palsu, seorang penghantar makanan menerima hukuman setimpal apabila dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Mohammad Nasriq Samsudin, 38, dijatuhi hukuman tersebut selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret S. Punitha.

Hukuman penjara terhadap Mohammad Nasriq juga boleh ditambah lima bulan lagi sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap Ahmad Farid Asorudin, 38, melalui telefon dengan cara mengugut dan mengatakan ada bom akan meletup di sebuah pasar raya di Klebang.

Panggilan berkenaan diterima di tingkat satu pejabat pengurusan pasar raya tersebut pada pukul 4.15 petang, 23 Ogos 2023.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Hajar Hamzah.

Terdahulu, ketika rayuan, Siti Hajar memohon mahkamah mengenakan hukuman denda minimum mengambil kira pendapatan harian anak guamnya antara RM20 hingga RM30 sebagai penghantar makanan.

Malah katanya, rekod rawatan psikitri dimiliki tertuduh turut menyukarkannya mendapatkan pekerjaan tetap dengan pendapatan stabil.

“Tertuduh pernah mendapatkan rawatan di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Ulu Kinta pada tahun 2002. Rekod dimilikinya ini menyukarkan anak guam saya mendapatkan pekerjaan.

“Oleh itu, saya mohon mahkamah untuk mengenakan jumlah jaminan minimum terhadap tertuduh,” katanya.

Tertuduh membayar hukuman denda berkenaan.

Menerusi laporan media Khamis lalu polis menahan seorang lelaki di sebuah rumah di kawasan Tasek di sini selepas disyaki membuat panggilan bom palsu di sebuah pusat membeli-belah di Chemor

Tangkapan ke atas lelaki itu dilakukan selepas lima jam laporan polis dibuat pekerja pusat membeli-belah berkenaan berkaitan ancaman bom pada pukul 4.50 petang. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya